Tanah kubur, bergambar? Ambillah ibrah, kematian bukan bahan tontonan

BARU-BARU ini, tular kisah pemergian adik Nurly Sahirah Azman, seorang hafizah muda yang kembali ke rahmatullah dalam keadaan yang cukup menginsafkan.

Ramai yang tersentuh hati, sebak melihat ketenangan wajahnya, dan kagum dengan keindahan akhir hayatnya yang dipenuhi al-Quran.

Namun, dalam keasyikan kita berkongsi rasa dan mengambil ibrah daripada pemergian beliau, timbul pula satu fenomena yang membimbangkan apabila orang ramai datang ke rumah keluarga arwah bukan lagi semata-mata untuk menziarahi, tetapi seolah-olah lebih kepada ‘melihat’ suasana.

Ya, tiada siapa melarang untuk menziarahi. Bahkan, Islam sendiri menganjurkan supaya kita hadir memberi sokongan dan mendoakan keluarga yang kehilangan orang tersayang.

Namun, apabila ziarah itu dibuat secara berlebihan sehingga melepasi batas adab, seperti hadir tanpa mengenali keluarga, atau meminta melihat barang peribadi arwah, maka ia sesuatu yang perlu ditegur dan diperbetulkan. Apatah lagi apabila ziarah bertukar menjadi tontonan, ia sudah jauh menyimpang daripada tujuan asal.

Adakah ini benar-benar tanda kasih, atau sekadar memuaskan rasa ingin tahu? Apa tujuan hadir jika hanya untuk merakam suasana, mengambil gambar, dan menyentuh al-Quran yang pernah dibaca arwah?

Lebih menyedihkan, ada yang bergambar kenang-kenangan di depan rumah keluarga arwah, seolah-olah berada di tapak pelancongan. Ada juga yang hadir sehingga ke tanah perkuburan,  bukan sahaja untuk berdoa, tetapi dilaporkan mengambil gambar pusara, malah ada yang memungut tanah kubur untuk dibawa pulang kononnya sebagai ‘berkat’.

Hormatilah keluarga dan kesedihan mereka

Keluarga arwah masih dalam fasa duka. Mereka perlukan ruang dan ketenangan, bukan kehadiran orang asing yang datang tanpa henti, bertanya soalan-soalan yang tidak sensitif, atau membelek barangan peribadi arwah seolah-olah bahan pameran.

Sehingga ke satu tahap, ibu arwah terpaksa menyuarakan meminta sedikit ruang untuk mereka berehat seketika. 

Sebenarnya, pemergian Nurly Sahirah adalah satu teguran lembut dari Allah mengenai nilai al-Quran dan betapa indahnya kehidupan seorang yang mencintai kalam-Nya. Tetapi jika kita hanya sibuk menjadikan kisah ini sebagai bahan tontonan atau ‘bahan’ media sosial, maka kita telah menghilangkan makna sebenar yang patut diambil.

Cukuplah sekadar berkongsi untuk dijadikan pengajaran. Tidak perlu mendesak keluarga untuk mendedahkan gambar, rakaman, suasana bilik atau kenangan peribadi. Cukuplah mereka yang mengenali arwah menyimpan kenangan itu sebagai amanah.

Umat Islam seharusnya lebih beradab dan mengetahui batas dalam menzahirkan simpati. Jika benar kita ingin menunjukkan kasih, kirimkanlah doa dan sedekahkan al-Fatihah. 

Jika ingin menziarah, lakukan dengan ikhlas dan penuh hormat, bukan untuk memuaskan rasa ingin tahu. Pemergian ini adalah satu dakwah senyap. Jangan mencemarkan dengan sikap keterlaluan. 

Oleh: Siti Fatimah Ishak, Wartawan TV Pertiwi

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Penswastaan Hospital tindas golongan marhaen – PERKASA

Next Post

Badan Peguam Malaysia bimbang ketidaktentuan pelantikan Ketua Hakim Negara

Related Posts