Marah murid secara terbuka: Di mana hikmah mendidik?

TULAR satu video melibatkan seorang murid sekolah rendah yang dimarahi oleh beberapa guru secara terbuka. Insiden ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat umum. Ramai yang rasa terkilan, terutamanya apabila mengetahui murid tersebut baru berusia sembilan tahun.

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita wajar mengambil masa untuk menilai semula pendekatan yang digunakan dalam menangani salah laku murid, tanpa menyalahkan mana-mana pihak secara melulu.

Setiap anak kecil pasti pernah tersilap langkah. Mereka masih belajar mengenal batas, memahami peraturan, dan membentuk tingkah laku. Namun, cara menegur mereka memainkan peranan besar dalam menentukan kesan jangka panjang terhadap emosi dan perkembangan diri. 

Menegur secara terbuka, apatah lagi secara berjemaah di hadapan rakan-rakan, boleh mencetuskan rasa malu, rendah diri, atau tekanan yang tidak sepatutnya ditanggung oleh anak sekecil itu.

Guru adalah individu yang paling rapat dengan murid ketika di sekolah. Maka, pendekatan yang lembut dan penuh empati sangat penting. Bukan untuk memanjakan, tetapi untuk membantu anak itu belajar daripada kesilapan dengan cara yang membina. 

Rasa takut atau trauma hanya akan menyekat proses pembelajaran. Kita semua tentu mahu lihat anak-anak datang ke sekolah dengan rasa selamat, bukan dengan rasa gentar.

Mengenai tindakan merakam video teguran seumpama ini boleh membawa lebih banyak mudarat daripada manfaat. 

Walaupun mungkin berniat mahu menegur atau memberi pengajaran, ia boleh menjatuhkan maruah murid tersebut dan membuka ruang kecaman awam yang tidak terkawal. Anak-anak ini perlu dilindungi, bukan didedahkan kepada tekanan sosial yang berlebihan.

Guru ialah insan yang sangat besar peranannya dalam membentuk akhlak dan masa depan anak bangsa. Mereka juga manusia biasa yang ada tekanan dan cabaran tersendiri. 

Namun dalam apa jua keadaan, kita semua – guru, ibu bapa, dan pihak sekolah – perlu sentiasa kembali kepada asas: mendidik dengan hikmah dan kasih sayang.

Jika berlaku isu melibatkan salah laku murid, gunakan saluran yang sesuai. Gunakan khidmat guru kaunseling. Ajak ibu bapa berbincang. Bilik kaunseling ada fungsinya – ruang yang lebih selamat dan profesional untuk menyelesaikan konflik dengan cara yang tidak mencederakan emosi anak.

Jadi sebagai pendidik, ibu bapa dan masyarakat, marilah kita duduk sejenak dan bertanya diri sendiri – adakah cara kita ‘membetulkan’ telah benar-benar mendidik?

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Titah Adendum: Puad pertahan Najib, persoal pendirian AGC 

Next Post

Laporan kebakaran gas Putra Heights siap, bentang Jun ini

Related Posts