Sedih, tiada negara Islam berani selamatkan Palestin – Tun Mahathir

Oleh: Azzman Jamal

 

BANGI, Jumaat – Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa sedih apabila tiada negara Islam yang berani menyelamatkan rakyat Palestin daripada dibunuh secara terang-terangan oleh tentera negara haram Israel

 

Bekas Perdana Menteri itu berkata, genosid yang terus berlaku di bumi Palestin dan Lubnan adalah kerana umat Islam tidak mampu melindungi dan menyelamatkan saudara seakidah seperti yang diwajibkan Islam.

 

Beliau berkata, ketika zaman Uthmaniyah Turki, genosid ke atas umat Islam tidak berlaku kerana bangsa-bangsa lain tidak berani berbuat demikian disebabkan kekuatan askar Turki.

 

Sebaliknya pada zaman ini, katanya, tidak ada negara Islam yang menjadi kuasa Islam yang boleh menakutkan musuh Islam.

 

“Kita patut tanya diri kita kenapa tidak ada kuasa besar dalam kalangan negara-negara Islam.

 

“Sebabnya ialah kerana kita abaikan fardu kifayah.

 

“Sebenarnya Allah telah kurniakan kepada negara Islam kekayaan yang tidak terhingga nilainya. Tiap hari berpuluh juta tong minyak petrol yang dikeluarkan negara Islam. 

 

“Tiap satu tong menghasilkan US$70 (RM300). Berpuluh juta tong bermakna US$ 1,400,000,000 sehari,” katanya menerusi ciapan di X hari ini.

 

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, dengan kurniaan yang begitu banyak itu, negara Islam sepatutnya mampu mewujudkan tentera dilengkapi dengan semua senjata buatan sendiri untuk menyelamatkan umat Islam

 

Bagaimanapun, katanya, disebabkan tidak ikut ajaran agama, maka perkara itu tidak berlaku menyebabkan nasib umat Islam tidak terbela.

 

“Saya rasa amat bersalah kerana gagal menunaikan ajaran Islam berkenaan keselamatan umat Islam,” luahnya kecewa.

 

IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

AS selamatkan Netanyahu, Gallant selepas ICC keluarkan waran tangkap

Next Post

Hamas sambut baik keputusan ICC tapi soal mana suara negara Islam

Related Posts