BANGI, 10 SYAWAL – Kerajaan Mesir melaksanakan pakej langkah penjimatan tenaga selama sebulan susulan lonjakan harga minyak global akibat konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran, lapor Anadolu.
Perdana Menteri, Mostafa Madbouly berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan tekanan kos import tenaga yang meningkat mendadak sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Menurut kenyataan rasmi, antara langkah utama ialah penutupan premis seperti kedai, restoran, pusat beli-belah, pawagam, teater dan dewan perkahwinan pada jam 9 malam waktu tempatan, kecuali pada Khamis dan Jumaat yang dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam.
Selain itu, kerajaan turut mengurangkan pencahayaan lampu jalan dan memotong penggunaan lampu papan iklan sebanyak 50 peratus, di samping mengehadkan penggunaan bahan api kenderaan kerajaan sehingga 30 peratus.
Dalam masa sama, kawasan pentadbiran kerajaan di ibu negara baharu akan ditutup seawal jam 6 petang, manakala projek nasional berskala besar yang menggunakan diesel dalam jumlah tinggi diperlahankan selama dua bulan.
Kerajaan juga memperkenalkan pelaksanaan kerja dari rumah setiap hari Ahad bermula 1 April sebagai sebahagian daripada usaha penjimatan tenaga.
Bagaimanapun, beberapa sektor dikecualikan daripada langkah ini, termasuk farmasi, kedai runcit dan fasiliti pelancongan di sepanjang Sungai Nil di Kaherah dan Giza, serta destinasi pelancongan utama seperti Sinai Selatan, Luxor, Aswan, Hurghada dan Marsa Alam.
Menurut Mostafa Madbouly, bil import tenaga Mesir meningkat hampir dua kali ganda daripada AS$1.2 bilion pada Januari kepada AS$2.5 bilion pada Mac, susulan kenaikan harga minyak dunia.
Beliau menjelaskan bahawa kenaikan harga bahan api antara 14 hingga 30 peratus yang diumumkan sebelum ini hanya mampu menampung kira-kira satu pertiga daripada peningkatan kos tersebut.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi