Gelombang ‘No Kings’ gegar AS, jutaan rakyat bangkit bantah Trump

BANGI, 10 SYAWAL – Gelombang bantahan besar-besaran tercetus di seluruh Amerika Syarikat (AS) apabila jutaan rakyat turun ke jalanan menyertai himpunan “No Kings” bagi membantah dasar pentadbiran Presiden Donald Trump.

Penganjur mendakwa lebih lapan juta peserta menyertai protes pada Sabtu, menjadikannya antara demonstrasi terbesar setakat ini. 

Himpunan ini merupakan siri ketiga “No Kings” yang memfokuskan penolakan terhadap dasar kerajaan termasuk isu perang dengan Iran, penguatkuasaan imigresen serta peningkatan kos sara hidup.

“Trump mahu memerintah seperti seorang zalim. Tetapi ini Amerika, kuasa milik rakyat – bukan raja atau kroni bilionair mereka,” menurut kenyataan penganjur.

Namun, jurucakap White House menyindir bantahan tersebut sebagai “sesi terapi sindrom kebencian terhadap Trump”, selain mendakwa ia hanya diberi perhatian oleh media.

Laporan menunjukkan demonstrasi berlaku hampir di semua bandar utama termasuk Washington, D.C., New York City dan Los Angeles, malah turut merebak ke bandar kecil serta beberapa lokasi antarabangsa seperti Paris dan London.

Di ibu negara, ribuan penunjuk perasaan memenuhi kawasan Lincoln Memorial dan National Mall, sambil berarak di pusat bandar.

Antara lokasi tumpuan utama ialah di negeri Minnesota susulan kematian dua rakyat Amerika, Renee Nicole Good dan Alex Pretti, yang didakwa terbunuh oleh ejen imigresen persekutuan pada Januari lalu. Insiden itu mencetuskan kemarahan meluas terhadap pendekatan keras kerajaan dalam isu imigresen.

Di St. Paul, ribuan peserta berhimpun di hadapan bangunan Capitol negeri, disertai tokoh Demokrat berprofil tinggi. Penyanyi Bruce Springsteen turut membuat persembahan sebagai tanda solidariti.

Sementara itu, ribuan lagi membanjiri Times Square hingga memaksa penutupan beberapa jalan utama bagi mengawal pergerakan orang ramai.

Pelakon Robert De Niro yang turut serta dalam protes di New York menegaskan rakyat perlu bangkit menentang pentadbiran Trump secara aman.

“Saya rasa semakin ramai mula sedar keadaan bertambah buruk setiap hari. Kita perlu bangkit menentangnya,” katanya.

Terdahulu, Trump pernah menyerang De Niro dengan menyifatkan pelakon itu sebagai “tidak waras” menerusi platform media sosialnya.

Walaupun majoriti perhimpunan berlangsung aman, beberapa insiden terpencil dilaporkan. Di Los Angeles, dua individu ditahan selepas didakwa menyerang pegawai penguat kuasa persekutuan berhampiran bangunan Roybal Federal Building.

Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), sekumpulan kira-kira 1,000 perusuh mengepung bangunan itu dan membaling objek termasuk bongkah simen, menyebabkan dua pegawai cedera.

Perkembangan ini memperlihatkan tekanan terhadap pentadbiran Trump semakin memuncak, dengan bantahan rakyat dijangka terus berlarutan susulan ketidakpuasan hati terhadap dasar semasa kerajaan.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Mesir tutup premis awal, kurangkan lampu tangani lonjakan kos tenaga

Next Post

Trump bayangkan rampas minyak Iran, sasar Pulau Kharg 

Related Posts