Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 24 Rejab — Gencatan senjata yang bermula Ahad lalu di Gaza memberi tempias kepada penduduk Palestin di Tebing Barat.
Anas Ahmad yang menetap di Ramallah berkata sekatan oleh rejim Zionis diperhebat menyukarkan pergerakan keluar masuk penduduk, lapor AFP.
“Dahulu sekadar sekatan tetapi sekarang mereka menghalang kami dengan pagar. Itu bezanya.
“Ketika gencatan senjata ditandatangani, segalanya berubah 180 darjah. Rakyat Palestin menerima kesannya,” katanya.
Akhbar Israel, Haaretz melaporkan tentera penjajah (IOF) diarahkan untuk membina puluhan sekatan di sekitar Tebing Barat sepanjang 42 hari fasa pertama gencatan senjata.
Kira-kira 146 pagar besi dipasang di sekitar Tebing Barat sejak tercetusnya Taufan Al-Aqsa dengan 17 pagar dipasang pada bulan ini sahaja.
Paderi Bashar Basiel pula mendakwa pagar yang dipasang mengehadkan pergerakan penduduk sejak berkuatkuasa gencatan senjata di Gaza.
Katanya, sekatan itu memanjangkan masa perjalanan dari satu bandar ke bandar yang lain di kawasan Tebing Barat.
“Apabila kami terjaga, kami dikejutkan dengan pagar besi di pintu masuk Taybeh jalan menuju ke Nablus dan Baitulmuqaddis.
“Kami tidak pernah hidup dalam keadaan sukar sebegini sejak bermulanya Intifada kedua,” katanya.
Ratusan pemandu di Tebing Barat yang mahu ke pusat bandar terkandas ekoran memunggu pemeriksaan IOF.
Jurucakap IOF Nadav Shoshani berkata pemeriksaan yang bertambah di Tebing Barat bertujuan memberkas militan Palestin.
“Kami akan pastikan pengganas tidak terlepas tetapi orang awam masih boleh bebas keluar menuju ke destinasi mereka,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: