Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Isnin – Strategi Israel sasar dan membunuh pemimpin Hamas dijangka akan memakan diri apabila tindakan berkenaan hanya akan menaikkan semangat kumpulan pejuang kemerdekaan Palestin itu.
Pakar Geostrategis, Prof Dr Azmi Hassan berkata, pembunuhan Yahya Sinwar pada 16 Oktober lepas tidak akan menjejaskan Hamas apabila ideologi perjuangan mereka untuk membebaskan Palestin daripada cengkaman negara haram Israel tetap kukuh.
“Pembunuhan itu akan membuakkan semangat perjuangan Hamas itu sendiri.
“Jika kita lihat Ismail Haniyeh yang telah dibunuh, Hamas masih boleh memberi tentangan kepada tentera Israel,” katanya kepada TV Pertiwi.
Bagaimanapun, Azmi berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga menggunakan kesempatan ini untuk mencipta naratifnya tersendiri apabila dia mendakwa ia sebagai satu kejayaan dalam karier politiknya.
Ujar Azmi, pembunuhan Sinwar dan pemimpin Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah turut memberi nilai tambah kepada karier politik Netanyahu menjadikan pemimpin negara haram itu kini semakin popular dalam kalangan rakyatnya.
“Ianya memberi persepsi kepada Israel dan Amerika Syarikat (AS) bahawa Hamas hampir lumpuh.
“Kalau kita teliti kenyataan Presiden AS, Joe Biden yang mendakwa ketiadaan Sinwar akan memudahkan gencatan senjata, ini bermakna Biden dan Netanyahu beranggapan Hamas terpaksa menerima apa sahaja ‘tawaran’ untuk mencapai gencatan senjata,” ulasnya.
Tambah Azmi, pembunuhan Sinwar itu sebaliknya membuka ruang kepada Hamas dan Hizbullah untuk melakukan serangan mengejut apabila situasi ini membuatkan Israel dan AS menjadi lalai dan leka, malah berpotensi membuat analisis salah mengakibatkan mereka memandang rendah terhadap keupayaan musuh mereka.
Pada 16 Oktober lepas, masyarakat dunia dikejutkan dengan berita kesyahidan Sinwar yang dibunuh dalam serangan Israel di selatan Gaza.
Susulan pembunuhan itu, tentera Israel menyiarkan rakaman detik terakhir Sinwar yang sedang duduk di kerusi serta diselaputi habuk di dalam sebuah bangunan yang musnah.
Dalam paparan video itu, Sinwar sempat membaling kayu ke arah dron Israel sebelum beliau dilaporkan syahid dipercayai ditembak oleh penembak tepat Israel.
Ekoran itu, ramai dalam kalangan pengguna media sosial mengiktiraf Sinwar sebagai pejuang sejati apabila lebih rela mati di medan pertempuran bersama rakan seperjuangan berbanding menyorok di ‘terowong’ atau mana-mana lokasi selamat seperti yang didakwa Israel.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI