BANGI, 14 RAMADAN – Setiap kali isu kuil haram dibangkitkan, akan ada pihak tertentu yang menekankan bahawa keamanan dan keharmonian negara berbilang kaum mesti diutamakan.
Sedangkan, menurut Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah, keamanan dan keharmonian hanya akan tercapai jika semua pihak mematuhi peraturan, bukannya membenarkan pelanggaran hak orang lain sesuka hati.
Justeru dalam kes kuil haram ini, beliau berpendapat, hak perlu dipertahankan kepada yang berhak.
“Apakah mereka sengaja lupa bahawa keamanan dan keharmonian hanya akan tercapai jika kita ikut peraturan atau rule of law, bukan main suka-suka ceroboh hak orang.
“Pertahankan hak kepada yang berhak,” tegasnya dalam hantaran Facebook.
Isu kuil haram tercetus apabila pemilik tanah mendakwa kuil telah dibina tanpa kebenaran di atas tanah miliknya, dan aduan rasmi telah dibuat kepada pihak berkuasa berhubung pencerobohan tersebut.
Susulan itu pada Februari lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah agar isu pembinaan kuil tanpa kebenaran dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak sejak sekian lama.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda bertitah bahawa jumlah kuil Hindu yang dibina tanpa kebenaran di Selangor adalah terlalu banyak, malah lebih tinggi berbanding populasi masyarakat India beragama Hindu di negeri itu.
Mengikut statistik, pembinaan kuil Hindu tanpa kebenaran di Selangor adalah sebanyak 687 buah sehingga 31 Januari 2026.
Ia membabitkan 388 kuil yang dibina di tanah milik kerajaan dan 299 kuil dibina atas tanah milik persendirian, sedangkan populasi masyarakat India beragama Hindu di Selangor adalah sekitar 11.3 peratus sahaja.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi