BANGI, 7 RAMADAN – Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim memaklumkan, 37 insiden yang meragut nyawa mahasiswa direkodkan sepanjang lima tahun sehingga tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 18 kes membabitkan kemalangan dan 19 kes lagi kematian mengejut.
“Kes membabitkan jenayah tidak pernah direkodkan. Sepanjang lima tahun, kes direkod ini agak kecil, namun tentu sekali kalau boleh kita mahu ia tidak berlaku langsung,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Menurut Adam, bagi memastikan keselamatan mahasiswa sentiasa terpelihara, pihak kementerian sentiasa memperkasakan langkah baharu.
Ini termasuk mengeluarkan arahan rasmi kepada semua Institut Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta untuk melaksanakan pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh dan berkala.
“Bagi penambahbaikan di masa hadapan, kita sentiasa memperkasakan langkah baharu termasuk mengeluarkan arahan rasmi kepada semua IPT awam dan swasta untuk laksanakan pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh dan berkala,” katanya ketika menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Adam menambah, langkah baharu itu turut merangkumi semakan sistem keselamatan di kampus dan kediaman mahasiswa, termasuk keberkesanan kawalan akses kamera litar tertutup (CCTV), pemasangan CCTV serta laluan keselamatan yang terang dan selamat.
“Kemudian kita juga pastikan ada semakan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang berkait dengan keselamatan dan kecemasan termasuk prosedur keluar masuk pelawat di asrama serta respons pantas sekiranya berlaku sebarang insiden,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi