BANGI, 11 MUHARRAM – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya segera pulang ke tanah air dan memberikan penjelasan terus kepada rakyat dan Parlimen berhubung dakwaan serius pencabulan terhadap institusi kehakiman negara.
Gesaan itu dibuat susulan pendedahan oleh sekumpulan Ahli Parlimen KEADILAN hari ini yang membangkitkan beberapa dakwaan membimbangkan melibatkan campur tangan dalam sistem kehakiman negara.
Antara dakwaan tersebut termasuk pencalonan hakim yang tidak diangkat, pelantikan utama yang tergendala, persoalan terhadap prosedur mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), serta campur tangan dalam kes kehakiman tertentu.
Beliau berkata, dakwaan yang dikemukakan adalah sangat berat dan tidak boleh dipandang remeh.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, institusi kehakiman merupakan salah satu cabang utama dalam sistem pentadbiran negara, dan sebarang pencemaran terhadapnya akan meruntuhkan prinsip pengasingan kuasa yang menjadi asas sesebuah negara demokrasi.
“Apabila cabang ini dicemari oleh campur tangan politik atau eksekutif, maka runtuhlah prinsip pengasingan kuasa yang menjadi asas sesebuah negara demokrasi.
“Tanpa kebebasan kehakiman, kita tidak lagi boleh mendakwa Malaysia sebagai negara demokrasi, bahkan sedang meluncur ke arah pemerintahan berciri diktator,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Perdana Menteri tidak boleh terus berdiam diri atau menangguhkan penjelasan berhubung perkara tersebut.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim wajib segera kembali ke tanah air dan memberikan penjelasan secara langsung kepada rakyat dan Parlimen.
“Ini bukan isu kecil yang boleh dilengah-lengahkan. Ini adalah isu melibatkan kedaulatan undang-undang dan masa depan keadilan dalam negara kita,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Ahmad Fadhli turut menzahirkan sembah takzim memohon Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong meneliti dakwaan berkenaan dan mempertimbangkan langkah sewajarnya bagi menjamin kemuliaan institusi kehakiman terus terpelihara.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Seri Paduka Baginda akan bertindak berlandaskan semangat keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Patik yakin bahawa Seri Paduka Baginda sentiasa menjunjung prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, dan dengan penuh harapan, patik serta seluruh rakyat menantikan kebijaksanaan Baginda dalam menangani kemelut yang sedang melanda ini,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi