Palestin terus dizalimi, Israel hadkan hanya 10,000 jemaah ke Masjid Al-Aqsa sepanjang Ramadan

BAITULMAQDIS, 1 RAMADAN – Rejim Israel sekali lagi meneruskan dasar penindasan terhadap rakyat Palestin apabila mengehadkan hanya 10,000 jemaah dari Tebing Barat untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa sepanjang bulan Ramadan di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Menurut laporan Anadolu Agency, keputusan itu diluluskan oleh kepimpinan politik Israel selepas penilaian keselamatan dibuat oleh agensi ketenteraannya, COGAT – alasan yang saban tahun digunakan untuk menyekat kebebasan beribadah umat Islam.

Di bawah sekatan baharu itu, setiap jemaah Palestin diwajibkan mendapatkan permit harian khas bagi setiap solat Jumaat. 

Jumlah kehadiran pula dihadkan kepada 10,000 orang sahaja – angka yang amat kecil berbanding ratusan ribu umat Islam yang lazimnya membanjiri Masjid Al-Aqsa pada Ramadan.

Rejim itu turut mengenakan syarat umur yang ketat dan bersifat diskriminatif.

Hanya lelaki berusia 55 tahun ke atas, wanita 50 tahun ke atas serta kanak-kanak sehingga 12 tahun yang ditemani ahli keluarga terdekat dibenarkan memasuki kawasan masjid suci berkenaan.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Israel memperketat kawalan keselamatan di Baitulmaqdis Timur setiap kali Ramadan, sekali gus menafikan hak rakyat Palestin untuk beribadah secara bebas di tanah sendiri.

Dalam masa yang sama, kumpulan peneroka haram Israel terus diberi ruang untuk menceroboh pekarangan Masjid Al-Aqsa sepanjang Ramadan.

Hantaran kumpulan penceroboh di media sosial menyatakan mereka akan memasuki kawasan sensitif itu selama lima jam setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu, bermula jam 6.30 pagi hingga 11.30 pagi waktu tempatan.

Pencerobohan peneroka haram ke kompleks Al-Aqsa bermula sejak 2003 hasil keputusan polis Israel, walaupun mendapat bantahan berterusan daripada pihak Waqaf Islam Baitulmaqdis.

Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat pertama umat Islam dan masjid ketiga paling suci selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Namun di bawah pendudukan Israel sejak 1967, akses umat Islam ke tapak suci itu terus disekat dan dipolitikkan atas nama keselamatan.

Rakyat Palestin menuntut Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara negara Palestin merdeka, selaras dengan resolusi antarabangsa yang tidak mengiktiraf pendudukan dan pengilhakan Israel terhadap bandar itu.

Sejak perang di Gaza tercetus pada 8 Oktober 2023, operasi ketenteraan Israel serta keganasan peneroka haram di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis semakin meningkat, melibatkan pembunuhan, perobohan rumah, pengusiran penduduk Palestin dan peluasan penempatan haram secara berterusan.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pemimpin Melayu Islam sudah-sudahlah berbalah sesama sendiri – Ustaz Shuhaib

Next Post

Jangan main naratif minoriti ditindas, tegas Presiden ISMA

Related Posts