BANGI, 25 SYAABAN – Mesyuarat Kabinet hari ini, memutuskan penubuhan jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, jawatankuasa khas itu akan diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Jemaah Menteri pada hari ini membincangkan isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Jemaah Menteri memutuskan supaya satu jawatankuasa khas ditubuhkan.
“(Jawatankuasa khas) itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara yang akan menyiasat dakwaan, perkara yang dibangkitkan berkait Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, sebaik siasatan yang diketuai KSN selesai, laporannya akan dibentangkan kepada Kabinet untuk tindakan susulan.
Beliau berkata, ini bagi memastikan aspek ketelusan serta integriti dalam proses siasatan.
Ditanya mengenai gesaan beberapa Ahli Parlimen PKR, termasuk Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli supaya Azam digantung tugas serta-merta, Fahmi berkata, perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat itu.
“Apa yang Jemaah Menteri putuskan ialah supaya satu jawatankuasa khas dipengerusikan KSN melakukan siasatan, maka kita akan rujuk dan serahkan kepada KSN serta jawatankuasa untuk meneliti,” katanya.
Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun pada sidang medianya baru-baru ini, Azam menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Beliau dilaporkan berkata, perkara itu tidak disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham berkenaan yang dibeli tahun lalu sudah dilupuskan pada tahun yang sama.
Susulan itu, Azam Baki, menegaskan beliau bersedia untuk disiasat oleh kerajaan berhubung isu pegangan saham yang didakwa dimilikinya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi