ISNIN, 29 NOVEMBER – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengesyorkan beberapa cadangan semasa sesi pertemuan di antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad dengan NGO-NGO Islam dalam sidang Majlis Amal Islami Malaysia.
Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berpandangan, institusi Tabung Haji dan Mahkamah Syariah diperkasakan selain mencadangkan Pembentukan Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara.
Beliau berkata, kerjasama strategik antara Pejabat Menteri Agama dan NGO-NGO Islam perlu dipertingkat dan diperkasa seperti skandal penjualan tanah milik TH yang berjaya dihentikan setelah pihaknya menghantar laporan dan bukti kepada SPRM dengan kerjasama pejabat Menteri Agama.
Tambahnya, isu cadangan perletakan TH di bawah Bank Negara Malaysia dan cadangan menukar status sebagai entiti kewangan setaraf seperti bank semata-mata juga telah dibangkitkan semula dan perlu dimaklumkan perkembangan terkini status TH.
Menyentuh soal pemerkasaan Mahkamah Syariah, Aminuddin memohon kertas kerja pemerkasaan mahkamah syariah yang sudah lama disiapkan, sekitar 10 tahun lalu perlu dilihat kembali dan diperhalusi.
Selain itu, Aminuddin berharap satu suruhanjaya ditubuhkan dengan diselia di bawah pejabat Menteri Agama bagi memastikan Islam sebagai Agama Persekutuan dipelihara dari terus dihakis dan dicabar.
Dalam pada itu, cadangan yang dikemukakan PEMBELA disambut baik oleh Menteri Agama.
Justeru PEMBELA berharap perkara yang disuarakan menjadi kenyataan dan tidak tergantung lagi sebagai kertas kerja semata-mata serta bebas dari campur tangan politik.