Bapa bukan sekadar individu, tetapi fungsi kepimpinan dalam keluarga

BANGI, 25 SYAABAN – Peranan seorang bapa dalam institusi keluarga tidak seharusnya dipandang kecil, sebaliknya perlu diiktiraf sebagai fungsi kepimpinan yang menentukan hala tuju dan kesejahteraan rumah tangga.

Yang Dipertua ISMA Cawangan Sepang, Ustaz Ibrahim M Hasan berkata, apabila berbicara tentang institusi keluarga, peranan ibu sering menjadi fokus utama, namun hakikatnya peranan bapa amat besar dan penting.

“Bapa bukan sekadar individu dalam keluarga, tetapi sebuah fungsi kepimpinan yang menentukan hala tuju dan kesejahteraan rumah tangga,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, anak-anak membesar dengan memerhati dan meniru ayah mereka. Perwatakan, sikap dan cara hidup seorang ayah sering menjadi contoh utama dalam pembentukan sahsiah anak.

“Jika baik perwatakan ayah, maka baiklah ikutan anak-anak. Sebaliknya, jika buruk, maka buruklah contoh yang tertanam. 

“Mana mungkin seorang ayah melarang anaknya daripada merokok sedangkan dia sendiri seorang perokok,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan seorang ayah perlu sentiasa menunjukkan teladan terbaik, khususnya apabila bersama anak-anak.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengingatkan sabda Rasulullah ﷺ:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Mengibaratkan peranan ayah seperti nahkoda sebuah kapal, beliau berkata, ayah menentukan arah pelayaran, memilih kompas dan memastikan kapal sampai ke destinasi dengan selamat.

“Jika arah salah, maka sesatlah perjalanan keluarga tersebut,” katanya.

Ustaz Ibrahim turut menggariskan tiga peranan utama yang wajib dilaksanakan oleh seorang ayah.

Pertama, menentukan halatuju keluarga. Bapa bertanggungjawab menetapkan visi dan perancangan kehidupan keluarga, membuat keputusan penting serta memastikan keseimbangan dunia dan akhirat menjadi asas pembinaan rumah tangga.

Kedua, tarbiyah isteri dan anak-anak. Memberi pendidikan agama adalah kewajipan seorang suami dan bapa.

“Anak-anak berhak menerima didikan fardu ain sejak kecil, dengan pendekatan hikmah dan teladan. 

“Dalam dunia yang berubah pantas hari ini, bapa juga perlu sentiasa menambah ilmu agar mampu membimbing anak menghadapi cabaran semasa,” katanya.

Ketiga, melindungi keluarga. Peranan ini bukan sekadar menyediakan keperluan material, tetapi menjadi tempat bergantung, memberi rasa selamat dan mengurus kewangan dengan bijak.

“Bapa juga perlu melindungi keluarga daripada pengaruh negatif dan menjadi tempat rujukan utama dalam setiap permasalahan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa tugas paling besar seorang bapa ialah melindungi keluarga daripada azab api neraka sebagaimana peringatan Allah dalam Surah At-Tahrim ayat 6.

“Kesedaran dan pelaksanaan peranan ini dengan sebaiknya adalah kunci kepada kestabilan keluarga dan seterusnya pembinaan ummah yang sejahtera,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Perhimpunan aman, tahanan dan paradoks undang-undang

Next Post

Palestin: Israel rancang daftar Tebing Barat sebagai ‘harta negara’

Related Posts