Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 2 RAMADAN — Menteri Pelancongan Seni dan Budaya bertegas penurunan pangkat Datuk Ammar Abd Ghapar disebabkan prestasi kurang memberangsangkan.
Datuk Seri Tiong King Sing berkata tohmahan di media sosial itu tidak berasas dan dakwaan yang direka-reka.
“Semasa menjadi Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Ammar tidak mencapai standard prestasi yang diharapkan.
“Beliau kurang memahami tanggungjawabnya dan gagal menunjukkan inisiatif dengan tiada sasaran dan tujuan jelas.
“Saya percaya ini adalah sebahagian urus tadbir biasa. Bagi pelarasan gaji, ia dibawah aturan Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini menyangkal dakwaan warga maya mengenai penurunan pangkat Ammar.
Manoharan Periasamy Februari tahun lalu menggantikan tempat Ammar sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia yang baharu.
Ammar diturunkan pangkat selepas 36 tahun berkhidmat dalam industri pelancongan dengan jawatan terkini sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Tourism Malaysia.
King Sing berkata Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya akan meneruskan fokusnya terhadap portfolio yang ditetapkan.
Katanya, Malaysia mengalu-alukan semua pelancong dari serata dunia bagi menerokai sendiri keindahan negara.
“Malaysia mengalu-alukan pelancong dari serata dunia. Kami secara aktif mempromosikan pelancongan Malaysia di pelbagai negara.
“Ia termasuk China, Asia Tenggara, Eropah dan Timur Tengah. Usaha mempromosikan ke pasaran China akan mengambil masa.
“Tetapi ia tidak bermakna promosi pelancongan mengabaikan negara lain,” katanya menepis dakwaan rasis di media sosial.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi