Cadangan pilihan raya Datuk Bandar KL tiada asas Perlembagaan – PEMBELA

BANGI, 16 SYAABAN – Cadangan untuk mengadakan pilihan raya bagi memilih Datuk Bandar dan Ahli-Ahli Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa tidak mempunyai asas Perlembagaan dan berpotensi menjejaskan tadbir urus ibu kota.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Dato Haji Zainul Rijal Abu Bakar berkata, selepas meneliti cadangan itu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, prinsip undang-undang pentadbiran dan struktur Kerajaan Persekutuan, cadangan tersebut tidak selari dengan kerangka undang-undang sedia ada.

“Kuala Lumpur merupakan satu daripada Wilayah-Wilayah Persekutuan yang ditadbir secara langsung oleh Kerajaan Persekutuan. DBKL bukan pihak berkuasa tempatan yang wujud di bawah kuasa undang-undang negeri, tetapi merupakan suatu entiti pentadbiran Persekutuan. 

“Maka, tidak timbul sebarang keperluan Perlembagaan atau statutori untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan bagi DBKL,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook. 

Beliau menegaskan bahawa penubuhan, fungsi dan kuasa DBKL tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang Persekutuan, termasuk Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta undang-undang khusus Wilayah Persekutuan. 

Pelantikan Datuk Bandar dan Ahli-Ahli DBKL oleh pihak berkuasa Persekutuan adalah sah di sisi undang-undang dan tidak bercanggah dengan prinsip demokrasi berperlembagaan.

“Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan sebarang hak, kewajipan atau keistimewaan Perlembagaan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Ketiadaan pilihan raya DBKL tidak boleh dianggap sebagai pencabulan hak demokratik atau prinsip demokrasi berperlembagaan,” tambah beliau.

Menurut Dato Zainul Rijal, pentadbiran bandar raya melibatkan keputusan bersifat teknikal, kompleks dan berimpak tinggi, termasuk perancangan guna tanah, kawalan bangunan, pengangkutan awam, penguatkuasaan undang-undang kecil dan keselamatan awam. O

Justeru, ia wajar dibuat oleh pihak berkuasa yang mempunyai kepakaran dan bebas daripada tekanan politik jangka pendek.

Beliau turut menegaskan risiko pertindihan kuasa sekiranya pilihan raya dilaksanakan, yang boleh menimbulkan konflik dasar dan keputusan bersifat ultra vires. 

“Sebagai ibu negara, Kuala Lumpur menempatkan institusi Persekutuan, misi diplomatik asing dan infrastruktur strategik negara, justeru pentadbirannya harus kekal di bawah kawalan langsung Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya terdapat kelemahan dalam tadbir urus DBKL, pembetulan boleh dan seharusnya dilakukan melalui mekanisme yang dibenarkan oleh undang-undang. Reformasi tadbir urus ini tidak memerlukan pengenalan pilihan raya tempatan,” tegas beliau.

Sejak penggantungan pilihan raya kerajaan tempatan pada 1965, dasar ini telah menjadi konsisten dan tidak pernah diputuskan bercanggah dengan Perlembagaan oleh mana-mana mahkamah.

“Berdasarkan analisis Perlembagaan dan perundangan, cadangan untuk mengadakan pilihan raya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak mempunyai asas Perlembagaan yang mandatori, berpotensi menjejaskan struktur kuasa sedia ada serta bercanggah dengan prinsip pentadbiran Wilayah Persekutuan.

“Pentadbiran Wilayah-Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur hendaklah kekal sebagai suatu fungsi Persekutuan yang ditadbir menurut undang-undang, prinsip tadbir urus yang baik dan kepentingan awam, tanpa dipolitikkan melalui mekanisme pilihan raya tempatan,” jelas Dato Zainul Rijal. 

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

RUU Jenayah Siber dimuktamadkan susulan kerugian penipuan cecah RM2.9 bilion

Next Post

Keistimewaan bulan Syaaban dan tanggungjawab satukan umat Islam

Related Posts