KHAMIS, 9 DISEMBER – Orang ramai dinasihat supaya menghindari dan tidak melakukan aktiviti di kawasan pantai sepanjang fenomena air pasang besar yang melanda negeri Terengganu ketika ini.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Norhalid Kimi berkata, peringatan dan amaran itu bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang musim tengkujuh.
Katanya, peralihan monsun timur laut yang melanda Terengganu ketika ini tidak sesuai untuk melakukan aktiviti air dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan ombak besar.
Beliau berkata masyarakat juga perlu peka dengan keadaan semasa sebelum melakukan sebarang aktiviti khususnya di kawasan pantai yang sering menjadi tumpuan pengunjung untuk melihat fenomena air pasang besar.
Terdahulu, Angkatan Pertahanan Awam Terengganu mengenal pasti sebanyak 37 lokasi di negeri itu yang dijangka berdepan risiko banjir berikutan fenomena air pasang.
Fenomena air pasang besar dan hujan lebat diramal berlaku 3 hingga 12 Disember. Ia melibatkan tujuh daerah di negeri itu kecuali Hulu Terengganu.