Bekas PTD didakwa terima lebih RM2.12 juta hasil aktiviti haram

BANGI, 3 SYAABAN – Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, menghadapi empat tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2.12 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Muhammad Hafizuddeain, 58,  mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap semua tuduhan berkenaan yang didakwa dilakukan di antara 2 Februari 2024 dan 7 November tahun lalu, di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Faham (pertuduhan) puan, saya mohon dibicarakan,” katanya yang menjadi PTD pertama didakwa di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Beliau didakwa menerima hasil aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.

Semua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di dua buah bank di tiga lokasi berbeza, iaitu di Jalan Melaka, Jalan Tun Perak dan Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 2 Februari 2024 dan 7 November 2025.

Muhammad Hafizuddeain didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

PEMBELA tolak iktiraf UEC untuk masuk IPTA

Next Post

PRU-16: Kerajaan Perpaduan boleh ‘selamatkan’ UMNO melalui persempadanan semula

Related Posts