BANGI, 1 SYAABAN – Perdana Menteri berjanji kerajaan akan melaksanakan dengan tegas Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keseluruhan Titah Diraja yang disampaikan Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, adalah jelas dan bagus.
“Titah baginda jelas (dan) bagus… (kerajaan akan) melaksanakannya dengan tegas,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penghargaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, petang semalam.
Semalam, Sultan Ibrahim ketika Titah Diraja percaya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan kes yang ada.
Baginda yakin ada ramai lagi perasuah di luar sana, sama ada dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang perlu diburu sehingga berjaya ditumpaskan.
Selain itu, baginda menzahirkan perasaan amat kecewa susulan kes rasuah dalam ATM sampai peringkat tertinggi.
Sultan Ibrahim juga mahu kerajaan menyediakan hakim yang berpengalaman dan laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera.
Baginda turut mengingatkan Ahli Parlimen supaya tidak menghasut sehingga boleh mewujudkan ketegangan antara wilayah, selain mengimbau asas pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara.
Baginda juga mahu kerajaan menangani dengan berkesan ancaman jenayah berat, keganasan serta perbuatan menyentuh agama, kaum dan institusi diraja (3R) serta menegaskan keperluan mewujudkan segera undang-undang berkaitan keselamatan negara dan ancaman luar negara.
Sultan Ibrahim juga bertitah, sebarang usaha mengadakan sistem pendidikan baharu perlu dibuat selari Dasar Pendidikan Kebangsaan dan bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ia adalah bahasa kebangsaan.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi