Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Jumaat – Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif untuk memberi ampun, tunda dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Dalam kenyataan hari ini, Istana Negara berkata, kuasa itu adalah menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Istana Negara, Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut.
“Kuasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini dijalankan dengan nasihat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda,” katanya.
Justeru, katanya, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Agong pada mesyuarat akan datang.
“Semua pihak diingatkan untuk menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan,” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI