BANGI, 2 REJAB – Aktivis tanah, Tamim Dahri Abdul Razak membidas kenyataan Pertubuhan Hindu Malaysia (Mahima) dan menegaskan bahawa tindakan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) merobohkan Kuil Murugan di Kangkar Pulai, Johor adalah wajar.
Tamim yang juga pengasas tanahmalaya.com menegaskan bahawa persoalan utama dalam kes itu bukan soal kepercayaan atau kesucian ibadat, tetapi melibatkan status pemilikan tanah, kuasa dan prosedur MPKu dan tanggungjawab kerajaan negeri dalam penguatkuasaan.
Tegas beliau, usaha untuk menyempitkan isu itu sebagai ‘tindakan tidak bermoral’ tanpa meneliti aspek undang-undang hanyalah satu cubaan untuk mengalihkan fakta.
“Malaysia menjamin kebebasan beragama bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Namun, setiap rumah ibadat tertakluk kepada undang-undang tanah, perancangan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Semalam, Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar dalam satu kenyataan berkata, pihak berkuasa perlu menangani isu kuil yang dibina di atas tanah orang lain secara berhemah dan berpaksikan semangat keharmonian masyarakat majmuk.
Katanya, pihak berkuasa wajar memberi ruang, masa dan peluang kepada pihak pengurusan kuil untuk merancang serta mencari jalan penyelesaian atau alternatif yang sesuai.
Mengulas kenyataan itu, Tamim mengingatkan Sivakumar bahawa keharmonian jangka panjang hanya boleh dicapai jika garis panduan rumah ibadat jelas, seragam dan dikuatkuasakan secara adil.
Selain itu katanya, semua pihak tidak membina atau mengekalkan struktur di atas tanah tanpa status sah dan kerajaan bertindak awal, bukan selepas konflik tercetus.
“Kegagalan menguatkuasakan undang-undang secara konsisten hanya akan mengundang krisis berulang, bukan keamanan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Tamim menggesa pentadbir Tanah Daerah Kulai mengambil tindakan dan mendakwa pihak terlibat di bawah Kanun Tanah Negara manakala Jabatan Perhutanan Negeri menggunakan Akta Perhutanan Negara.
“Kegagalan mana-mana pihak berkuasa ini untuk bertindak bukan sahaja mencacatkan penguatkuasaan undang-undang tetapi juga mencerminkan pengabaian amanah terhadap kedaulatan undang-undang serta keharmonian masyarakat,” tambahnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi