Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Jumaat – Kemenangan calon Republikan, Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) tidak akan menjamin kebebasan bumi Gaza daripada cengkaman kekejaman Israel, kata Pakar Geostrategis Prof Dr Azmi Hassan.
Beliau berpandangan, kepimpinan Joe Biden sudah tamat, namun Trump dijangka akan menuju ke arah pelaksanaan gencatan senjata mengikut acuan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
“Hakikatnya adalah, penamatan serta merta atau gencatan senjata itu adalah lebih mirip kepada apa yang Netanyahu hendak,” katanya kepada TV Pertiwi.
Ujar Azmi, pelan gencatan senjata yang mengikut acuan Netanyahu itu memberi lebih kebebasan kepada Israel berbanding pembebasan buat rakyat Palestin di Gaza.
“Israel dapat mengawal utara Gaza sepenuhnya, memudahkan pembinaan penempatan haram rakyat Yahudi, aktiviti penerokaan haram Yahudi akan ditempatkan utara Gaza dan sempadan antara Mesir dan Gaza dikawal sepenuhnya oleh rejim haram Israel,” jelasnya.
Tambahnya, di dalam benak fikiran Trump pada ketika ini lebih condong kepada Israel dan hakikatnya sifat pro-Zionis bakal Presiden Amerika Syarikat itu tiada bezanya dengan penyandangnya, Biden.
Mengulas lanjut, Azmi berkata perkara itu dibuktikan menerusi pentadbiran Trump ketika dilantik sebagai Presiden AS ke-45 yang mana beliau melaksanakan beberapa perkara seperti mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaan AS daripada Tel Aviv ke kota suci itu.
“Trump secara tidak langsung, melanggari konsep, prinsip, dasar luar AS yang tidak mahu mengusik atau mencabuli status Baitulmaqdis,” katanya.
Pada masa yang sama katanya, dengan kemenangan yang bergaya itu, Trump hanya mahu mengaut kembali kuasanya dan melakukan apa sahaja yang dia mahukan.
Terdahulu, Trump sekali lagi terpilih sebagai presiden AS selepas meraih lebih 270 undi badan perwakilan yang diperlukan untuk memenangi pemilihan AS 2024.
Calon Republikan itu menewaskan pencabarnya dari parti Demokrat, Kamala Harris dan mengesahkan kedudukannya sebagai presiden AS ke-47.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI