GAZA, 2 REJAB – Sekurang-kurangnya 18 penduduk Palestin terkorban di Gaza selepas bangunan yang rosak akibat serangan Israel, runtuh sejak gencatan senjata berkuat kuasa lebih dua bulan lalu.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, empat orang maut apabila sebuah bangunan yang rosak runtuh di kawasan Sheikh Radwan, bandar Gaza pada Sabtu lalu, menjadikan jumlah kematian akibat runtuhan bangunan sejak 10 Oktober lalu meningkat kepada 18 orang.
Menurut kementerian itu, sebanyak 46 bangunan yang rosak, runtuh di beberapa kawasan Gaza sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa.
Kementerian itu berkata, keadaan cuaca buruk meningkatkan risiko runtuhan bangunan di Gaza ketika Israel terus menghalang usaha pembinaan semula wilayah tersebut serta menghalang kemasukan rumah mudah alih ke semenanjung itu.
Sehubungan itu, kementerian itu merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya mengambil tindakan segera bagi membenarkan kemasukan bahan binaan untuk membangunkan semula Gaza dan menyediakan perlindungan kepada ribuan orang awam yang kehilangan tempat tinggal.
Semalam, pertahanan Awam Gaza memaklumkan bahawa pihaknya mengeluarkan mayat dua kanak-kanak dari bawah runtuhan dan menyelamatkan lima individu dalam keadaan hidup, termasuk seorang kanak-kanak serta dua wanita, selepas bumbung sebuah bangunan runtuh di utara Gaza. Dua lagi individu masih dilaporkan hilang.
Pertubuhan itu dalam satu kenyataan memberitahu, sembilan orang terperangkap selepas bumbung sebuah bangunan tiga tingkat runtuh di kawasan Sheikh Radwan.
Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), lebih 60 peratus rumah, 80 peratus kemudahan komersial dan 65 peratus jalan raya di Gaza, rosak atau musnah akibat serangan tentera Israel sepanjang dua tahun perang genosid tersebut.
Ribuan rakyat Palestin dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang musnah sejak perang Israel bermula terhadap semenanjung itu pada Oktober 2023.
Tentera Israel membunuh lebih 70,000 orang di Gaza, kebanyakan wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan hampir 171,200 yang lain sejak Oktober 2023 dalam serangan kejam yang turut meninggalkan semenanjung itu dalam keadaan musnah. – TRT WORLD