BANGI, 28 JAMADILAKHIR – Ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu rasuah baru-baru ini dipersoal PAS sama ada Perdana Menteri telah mendahului mahkamah apabila secara tidak langsung menggambarkan ahli perniagaan, Albert Tei sebagai bersalah.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari turut mempersoalkan sama ada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin boleh dilabel serupa jika menggunakan logik yang sama sedangkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu baru didakwa di mahkamah seperti Albert.
“Saya tidak menyebelahi Albert Tei, tetapi kita juga wajib berlaku adil.
“Adakah Perdana Menteri sedang mendahului mendahului keadilan di mahkamah apabila menggambarkan Albert Tei telah mencuri wang atau memperoleh sebarang keuntungan atau manfaat yang dapat mengesahkan kesalahannya?
“Jika begitu, bolehkah kita juga katakan bahawa bekas Setiausaha Politiknya sebagai ‘penerima rasuah tegar’ sedangkan dia baru sahaja didakwa di mahkamah?” soalnya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Ahmad Fadhli merujuk kepada kenyataan Anwar di Dewan Negara yang berkata ada kekeliruan di negara ini dengan penyamun atau perasuah dianggap ‘whistleblower dan dijadikan ‘hero’.
Susulan itu, Anwar berkata, pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan dibentang di Dewan Rakyat tahun depan.
Namun begitu, Ahmad Fadhli mempersoalkan identiti individu yang dimaksudkan sebagai ‘whistleblower’ itu memandangkan Anwar tidak menyebut nama secara khusus.
Justeru, beliau Ahmad Fadhli berpandangan bahawa ia merujuk kepada Albert Tei – memandangkan berita mengenai pendakwaan Albert dan Shamsul kini hangat dibincangkan.
Pada 4 Disember lepas, Shamsul didakwa atas empat pertuduhan menerima rasuah RM176,830 daripada Albert manakala Tei pula dituduh menawarkan rasuah itu.
Kedua-dua individu mengaku tidak bersalah.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut mempersoalkan pendirian Anwar berhubung pendedahan yang dibuat Albert berhubung skandal rasuah Sabah pada awal November tahun lepas yang mengaitkan individu daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, situasi ini membangkitkan persoalan sama ada Anwar menganggap penerima rasuah lebih mulia dan suci daripada pemberi rasuah.
“Jika Anwar Ibrahim menuduh Albert Tei adalah penyamun tegar, saya ingin menuntut penjelasan daripada beliau bagaimana dengan tindakannya melindungi dan bekerjasama serta memuji sekelompok rakan sekutunya daripada GRS yang terlibat menerima rasuah.
“Sekiranya Anwar Ibrahim menuduh kedudukan Albert Tei merupakan penyamun tegar, bagaimana dengan perbuatannya menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri untuk melindungi rakan sekutunya yang menerima rasuah.
“Apa perbezaan antara Anwar Ibrahim dengan Albert Tei? Adakah mereka berdua sama-sama merupakan penjenayah tegar?” soalnya lagi.
Justeru, Ahmad Fadhli berkata, kenyataan Anwar bahawa ‘kekeliruan besar’ yang dinyatakan itu sememangnya benar namun, ia tercetus daripada perbuatan Perdana Menteri sendiri.
” Anwar Ibrahim cuba mengelirukan masyarakat dengan ancaman moral serta memutarbelitkan fakta untuk menjatuhkan kredibiliti Albert Tei sebelum perbicaraan yang adil supaya beliau dapat menyelamatkan dirinya sendiri,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi