Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 11 SYAWAL — Majlis Ulama Indonesia membantah cadangan Prabowo Subianto untuk memindahkan sementara 1,000 rakyat Palestin ke republik itu.
Wakil Ketua Umumnya, Anwar Abbas berkata cadangan Presiden Indonesia itu hanya akan menyokong usaha Israel untuk mengusir rakyat Palestin dari Gaza, lapor portal Suara.
“Untuk apa Indonesia ikut-ikutan menyokong rencana Israel dan Amerika Syarikat (AS) tersebut?
“Bukankah Israel dan Presiden AS Donald Trump sudah menyampaikan keinginannya untuk mengosongkan Gaza?
“Jadi belajar dari sejarah, maka Indonesia dalam menghadapi gerakan yang dilakukan oleh Israel itu harus cerdas. Jangan sampai negara kita dimanipuasi Israel,” katanya.
Prabowo semalam memaklumkan Indonesia bersedia menerima kehadiran sementara 1,000 rakyat Palestin yang terjejas dalam serangan Israel.
Katanya, jumlah tersebut adalah gelombang pertama mangsa kekejaman Israel yang terdiri daripada pesakit dan anak yatim piatu.
“Kami bersedia menghantar pesawat untuk mengambil mereka. Kami jangkakan jumlahnya 1,000 orang untuk gelombang pertama.
“Syaratnya adalah semua pihak harus setuju hal ini. Kedua, mereka di sini hanya sementara sampai pulih dan bila kondisi Gaza sudah memungkinkan, mereka harus kembali.
“Saya kira itu sikap pemerintah Indonesia. Untuk itu, saya harus berunding dengan pemimpin daerah,” katanya.
Prabowo kini sedang mengadakan lawatan kerja ke lima negara Timur Tengah iaitu Emiriah Arab Bersatu, Turki, Mesir, Qatar dan Jordan.
Katanya, lawatan itu diadakan susulan permintaan negara tersebut yang ingin mengetahui peranan dapat dimainkan Indonesia dalam membantu Gaza.
Anwar berkata Prabowo perlu mengambil iktibar apa yang berlaku di Baitulmuqaddis apabila kota itu dikuasai Israel.
Katanya, cadangan Prabowo harus ditolak demi memastikan rakyat Palestin menguasai seluruh wilayah Gaza.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi