BANGI, 10 JAMADILAKHIR – Dalam suasana pendidikan masa kini, isu hukuman rotan di sekolah kembali hangat dibincangkan.
Ada ibu bapa yang melihatnya sebagai langkah disiplin terakhir yang mampu membentuk akhlak pelajar, namun tidak kurang juga yang menganggapnya sebagai amalan lapuk yang tidak lagi relevan dalam sistem pendidikan moden.
Topik ini kembali menarik perhatian ramai terutama apabila berlakunya kes rogol di sebuah sekolah menengah di Melaka sebelum kecoh kejadian tikam pelajar sampai mati di Petaling Jaya.
Bercakap kepada TV Pertiwi, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia, Mohd Nor Izzat Johari menegaskan bahawa hukuman merotan wajar dikembalikan sebagai kaedah mendisiplin pelajar.
Bagaimanapun katanya, hukuman merotan mesti hanya kepada kesalahan ‘berat’ seperti merokok di premis sekolah.

Tegas beliau, hukuman merotan, meskipun dianggap ‘kejam’ bagi sesetengah ibu bapa, sebenarnya penting untuk memberi pengajaran dan amaran kepada pelajar tersebut supaya tidak melakukan kesalahan yang sama pada masa hadapan.
“Merokok di kawasan sekolah adalah satu kesalahan besar – baik dilakukan pelajar, orang awam dan guru – yang boleh didenda ribuan ringgit dan penjara. Pelajar pula boleh digantung atau dibuang sekolah akibat perbuatan ini.
“Lebih baik dia (pelajar) dirotan sebelum dia ‘dijatuhkan’ hukuman yang lebih berat yang boleh menjejaskan masa depannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Cikgu Izzat berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini memang mempunyai garis panduan terhadap hukuman merotan pelajar yang mana ia hanya dibenarkan oleh guru disiplin.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa hukuman rotan bukan satu-satunya kaedah untuk membentuk semula akhlak pelajar yang mempunyai masalah disiplin.
Beliau mencadangkan, supaya pelajar bermasalah dibuat intervensi seperti dihantar ke kem-kem pembangunan insaniah dibawah pemantuan pihak berkuasa termasuk pegawai dari Jabatan Agama.
“Masalah disiplin ini kebiasannya disebabkan jiwa. Ada punca yang menyebabkan pelajar itu jadi seperti itu dan faktor-faktornya biasa bermula dari rumah.
“Bimbang pelajar itu tertinggal mata pelajaran? Dah memang di sekolah pun dia tak belajar, baik kita tumpu kepada pemulihan terdahulu, kemudian pada tahun seterusnya dia boleh tumpu kembali kepada pelajaran.
“Ini lah yang dimaksudkan pendidikan sepanjang hayat. Tak perlu terkejar-kejar silibus,” ujarnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi