BANGI, 9 JAMADILAWAL – Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (Identiti) mengingatkan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming supaya tidak ‘menggelupur’ apabila ditanya wartawan berhubung isu bahasa kebangsaan di negara ini.
Presidennya, Islah Wahyudi Zainudin berkata, tindakan wartawan Utusan Malaysia yang bertanya mengapa kerajaan tidak menggunakan bahasa kebangsaan bagi pengumuman projek ‘I Lite U’ bukan satu perbuatan yang salah.
Katanya, soalan wartawan itu adalah relevan kerana ia berkait dengan penggunaan bahasa kebangsaan dalam program nasional yang bakal dilaksanakan kementerian diterajui Kor Ming.
“Sepatutnya sebagai seorang menteri, Kor Ming kena jalankan tanggungjawab memperkasa Perlembagaan Persekutuan termasuklah bahasa kebangsaan negara ini.
“Kalau dah buat salah, terimalah teguran rakyat. Ikut Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang absahkan kewujudan negara ini dan kewarganegaraan kamu (Kor Ming). Ini tidak,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.
Justeru, katanya, tindak balas Kor Ming yang dilihat mengugut wartawan tidak mencerminkan karakter seorang menteri.
Malah, Islah meluahkan rasa kecewa apabila isu pelacuran bahasa kebangsaan semakin menjadi-jadi terutama melbatkan papan tanda niaga di seluruh negara sejak kebelakangan ini.
“Dalam Perlembagaan Malaysia, tidak ada sepatah pun istilah Cina, Taiwan, India, Tamil, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan sebagainya.
“Itu semua identiti negara lain. Identiti Malaysia adalah berteraskan identiti orang asal negara ini iaitu Melayu, Orang Asli, bumiputera Sabah dan Sarawak.
“Di mana bumi mendarat, di situ langit dijunjung,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Islah turut mencabar Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk mengambil tindakan disiplin terhadap Kor Ming.
Katanya, ini kerana tindakan Kor Ming adalah bercanggah dengan kenyataan Loke yang menyatakan DAP mendokong prinsip termasuk kedudukan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Kita juga nak tanya, kenapa susah sangat nak siarkan berita pelacuran bahasa Melayu di papan tanda niaga yang bersepah-sepah kita adukan seluruh negara?,” soalnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi