Oleh Wartawan TV Pertiwi
PAS mendakwa perjuangan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menegakkan titah adendum sudah berakhir.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa titah itu hanya khabar angin.
“Dengan penegasan menteri di dalam Dewan Rakyat bahawa titah adendum itu hanya khabar angin, berakhirlah perjuangan Presiden UMNO.
“Lagipun, bukanlah Presiden UMNO bersungguh sangat pun hendak perjuangkan isu ini.
“Bahkan yang bertanya tentang isu ini di dalam Dewan pun hanyalah Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional,” coretnya di Facebook miliknya semalam.
Saifuddin mendakwa titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak hanyalah khabar angin.
Katanya, perkara itu sudah diputuskan mahkamah sebagai jawapan kepada Ahli Parlimen PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika perbahasan di Dewan Rakyat semalam.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai lalu menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan titah adendum itu.
Najib bagaimanapun memfailkan notis rayuan dan Mahkamah Rayuan akan bersidang pada 5 Disember ini bagi mendengar permohonan itu.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI