“Berani ugut wartawan…itulah nasib Melayu di bumi Melayu” – Ridhuan Tee

BANGI, 9 JAMADILAWAL – Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, sudah sampai masanya pemimpin yang disifatkannya kurang ajar perlu dilawan habis-habisan kerana tindakan yang dianggap menghina agenda negara dan bahasa kebangsaan.

Menurutnya, sifat kurang ajar pemimpin semakin terserlah apabila dilihat sanggup mengugut wartawan hanya kerana pertanyaan berkaitan tagline “Kenapa tidak mendaulatkan Bahasa Melayu Tahun Menyambut Malaysia 2026.”

“Jawapan yang diberikan ialah kerana acara ini bersifat antarabangsa. Apakah kita mahu mengajar pelancong berbahasa Inggeris? Majoriti pelancong China tidak boleh berbahasa Inggeris, kenapa mereka datang melancong ke negara kita? Oh ya, saya lupa, rupanya kamu mahu menggunakan Bahasa Cina dengan mereka.

“Apakah benar pelancong yang datang melancong ke negara kita mahu berbahasa Inggeris dengan kita?” soalnya menerusi kenyataan di Facebook.

Walaupun tidak menyebut nama secara langsung, kenyataan Dr Ridhuan dipercayai merujuk kepada insiden yang tular di media sosial baru-baru ini melibatkan seorang menteri kerajaan Madani yang dilaporkan didakwa mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan terhadap wartawan Utusan Malaysia ketika sidang media pra-pelancaran projek pelancongan “I Lite U”.

Dalam insiden tersebut, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dilaporkan berkata:
“I will remember, I will call your chief editors” dan “I will hold Utusan, I will call your chief editors” selepas wartawan berkenaan bertanya mengenai penggunaan nama projek dalam Bahasa Inggeris.

Dr Ridhuan turut memuji pendirian Presiden China yang baru-baru ini membalas ucapan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam Bahasa Cina, meskipun beliau tahu berbahasa Inggeris.

Katanya, tindakan itu menunjukkan pemimpin China tidak berkompromi dalam mempertahankan jati diri dan kedaulatan negaranya.

“Orang China di China begitu bangga dengan bahasanya. Peliknya, pemimpin ini langsung tidak menghormati bahasa kebangsaan di tanah tumpah darahnya sendiri.

“Malah sanggup menghina wartawan tersebut hanya kerana bertanyakan soalan mengapa tidak menggunakan Bahasa Melayu sebagai tagline dalam kempen Tahun Melawat Malaysia,” katanya.

Menurut Dr Ridhuan lagi, wartawan yang bertanya ialah dari Utusan Malaysia – akhbar yang sebelum ini dikenali sebagai Utusan Melayu dan antara penerbitan berpengaruh dalam perjuangan kemerdekaan serta jati diri Melayu.

“Itu pun berani mengugut wartawan tersebut. Saya tidak fikir menteri demikian akan memberikan respon sebegitu rupa jika yang bertanya adalah wartawan dari akhbar Bahasa Cina atau Inggeris.

“Tetapi itulah nasib Melayu di bumi Melayu. Di buminya sendiri, dia tidak dapat menegakkan kedaulatan bahasanya walaupun termaktub dalam Perlembagaan. Di bumi Melayu sendiri, Melayu dihina demikian rupa seolah-olah tiada maruah,” katanya.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Maahad Imtiyaz dan pelajarnya dinobat terbaik SPM 2024 kategori SMAR

Next Post

Gencatan senjata Gaza taktik penipuan Israel?

Related Posts