Oleh Wartawan TV Pertiwi
Menteri Ekonomi mengesahkan golongan T15 tidak akan ditakrifkan berdasarkan pendapatan isi rumah semata-mata.
Rafizi Ramli berkata pelbagai simulasi dan kajian dilakukan kerajaan dalam memberikan takrifan tepat golongan maha kaya, lapor Utusan Malaysia.
“Saya boleh sahkan bahawa ia bukanlah menggunakan kaedah pendapatan isi rumah semata-mata seperti yang dirujuk kepada B40, M40 dan T15.
“Ia bukan kalau kamu gaji sekian-sekian kamu tak dapat [subsidi]. Ia tidak boleh [ikut pendapatan isi rumah] sahaja, kita kena tengok pemboleh ubah lain dan bukan pukul rata.
“Banyak simulasi dan proses yang kita akan lakukan antara Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis sambutan Hari Statistik Negara di Putrajaya semalam.
Katanya, aspek lokaliti dan tanggungan semasa kerajaan akan diambil kira dalam menentukan golongan mana yang akan terus menikmati subsidi RON95.
“Kita tahu bahawa pengukuran berdasarkan pendapatan isi rumah semata-mata sebenarnya banyak yang tercicir dan tidak adil.
“Memang kita ingin beralih kepada satu konsep yang dipanggil perbelanjaan bersih isi rumah yang mengambil kira perbelanjaan asas isi rumah bagi menjalani kehidupan wajar,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI