Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 9 ZULKAEDAH – Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru hari ini mendesak Pejabat Pengarah Tanah dan Galian menyiasat status tanah rizab kampung tersebut dengan mengemukakan bukti dokumen dalam satu pertemuan bersama pegawai pejabat tersebut hari ini.
Peguam kumpulan hak asasi manusia Lawyers For Liberty (LFL) N Surendran yang mewakili penduduk tersebut berkata, tanah tersebut bukan tanah pajakan 99 tahun tetapi menokhtahkan statusnya sebagai Malay Agriculture Settlement (MAS).
“Mereka meminta pentadbir tanah menjalankan siasatan di bawah Bab 4 Kanun Tanah Negara bagi menentukan status tanah iaitu ia adalah tanah MAS.
“Ini adalah proses formal dengan pihak Pengarah Tanah dan Galian dan kami telah berjumpa dengan timbalan pengarah, Anuar Isa bagi pihak jawatankuasa penduduk,” katanya pada sidang media selepas pertemuan hari ini.
Pihak jawatankuasa turut menyerahkan satu dokumen warta 1932 yang memberikan status MAS kepada tanah Kampung Sungai Baru.
“Warta ini tidak pernah dibatalkan dan masih dirujuk dalam dokumen perbendaharaan kerajaan sehingga hari ini. Ia jelas menyatakan bahawa tebing kanan Sungai Klang dan tanah yang mengikut aliran sungai itu adalah tanah Kampung Sungai Baru,” jelas peguam tersebut.
Kira-kira 50 penduduk Kampung Sungai Baru yang masih melawan tindakan kerajaan dan pemaju mengambil tanah mereka hadir di pejabat tersebut.
Pengerusi jawatankuasa Zainab Alias berkata penduduk mahu rumah flat yang telah dirobohkan pemaju dibangunkan semula dan penduduk asal dibenarkan menetap kembali di kawasan itu sekiranya tanah tersebut disahkan sebagai tanah MAS.
“Saya hendak minta hak pemilikan diberikan semula untuk rumah teres yang terlibat dengan pengambilan tanah,” katanya.
Ujarnya, pegawai pejabat tanah dan galian berkata akan menyiasat perkara itu namun tidak dapat memberikan tempoh masa untuk menyelesaikan siasatan.
Sementara itu, aktivis kampung baru Rafidah Ibrahim menggesa kerjasama pihak pejabat tanah dan galian menyegerakan siasatan bagi mengelakkan lebih banyak kemusnahan di kawasan flat yang sedang dirobohkan.
Kampung Sungai Baru menjadi tumpuan apabila penduduk masih enggan keluar dan menolak pampasan yang ditawarkan kepada mereka walaupun beberapa blok rumah flat telah dirobohkan bagi tujuan pembangunan.
Sebelum ini, jawatankuasa mendedahkan tanah tersebut ialah sebahagian daripada tanah MAS yang mana ia tidak boleh diambil oleh pemaju.
Ia sekali gus menyangkal kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa selepas beliau mendakwa kawasan itu bukan sebahagian daripada Kampung Baru yang merupakan rezab tanah Melayu.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi