Parlimen Israel beri kelulusan pengilhakan Tebing Barat yang diduduki

BAITULMAQDIS, 1 JAMADILAWAL – Rang Undang-Undang (RUU) untuk menguatkuasakan undang-undang Israel ke atas Tebing Barat yang diduduki, langkah yang dianggap setara dengan pengilhakan wilayah yang rakyat Palestin mahu untuk pembentukan sebuah negara, menerima kelulusan awal Knesset (Parlimen) Israel.

Undian yang berlangsung semalam merupakan yang pertama daripada empat peringkat yang diperlukan untuk meluluskan undang-undang itu. 

Ia berlangsung serentak dengan lawatan Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, ke Israel, sebulan selepas Presiden Donald Trump menyatakan tidak akan membenarkan Israel menguasai Tebing Barat.

Parti Likud pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, tidak menyokong undang-undang itu yang dikemukakan oleh ahli parlimen dari luar gabungan pemerintahnya dan diluluskan dengan undian 25 menyokong berbanding 24 menentang daripada 120 ahli parlimen.

RUU kedua yang dicadangkan oleh parti pembangkang untuk mengilhak penempatan Maale Adumim pula diluluskan dengan undian 31-9.

Bagaimanapun, anggota dalam gabungan Netanyahu dari Parti Kuasa Yahudi pimpinan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir dan kumpulan Zionisme Agama yang diketuai Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, mengundi menyokong RUU itu yang masih memerlukan beberapa proses perundangan sebelum boleh diluluskan sepenuhnya.

Ahli gabungan kerajaan Netanyahu sejak bertahun-tahun menggesa Israel secara rasmi mengilhak sebahagian Tebing Barat, wilayah yang Israel dakwa mempunyai pertalian sejarah dan kitab suci.

Rejim Zionis Israel berhujah bahawa wilayah yang ditawan dalam perang 1967 tidak dianggap diduduki dari sudut undang-undang kerana ia adalah tanah yang dipertikaikan. Namun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa menganggapnya sebagai wilayah diduduki.

Mahkamah tertinggi PBB pada 2024 menyatakan bahawa pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin, termasuk Tebing Barat, serta pembinaan penempatan di situ, menyalahi undang-undang dan perlu ditarik balik secepat mungkin.

Kerajaan Netanyahu sebelum ini mempertimbangkan pengilhakan sebagai tindak balas terhadap tindakan beberapa sekutu Barat yang mengiktiraf negara Palestin pada September lalu. Namun langkah itu dilihat terbantut selepas bantahan Trump.

Kementerian Luar Palestin berkata, Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas tanah Palestin, sambil mengecam tindakan Knesset itu.

“Kementerian Luar Negeri menegaskan bahawa wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis, serta Semenanjung Gaza adalah satu unit geografi tunggal yang Israel tidak mempunyai kedaulatan,” katanya.

Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, dalam kenyataan semalam, menyifatkan undian Israel terhadap RUU Tebing Barat dan Maale Adumim mencerminkan “wajah hodoh pendudukan kolonial”.

“Kami menegaskan bahawa percubaan terdesak pendudukan untuk mengilhak tanah Tebing Barat adalah tidak sah dan tidak mempunyai legitimasi,” kata kumpulan itu.

Hamas berusaha untuk mengukuhkan semula pengaruh di Semenanjung Gaza selepas menghadapi serangan ganas sepanjang dua tahun perang dengan Israel.

Pihak Berkuasa Palestin kini menjalankan pentadbiran autonomi terhad di beberapa kawasan dalam Tebing Barat yang diduduki.

Netanyahu sendiri tidak lagi secara terbuka menyatakan pendirian mengenai pengilhakan sejak janji pilihan raya terdahulunya digugurkan pada 2020 demi menormalisasikan hubungan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.

UAE, negara Arab paling berprofil tinggi yang menjalin hubungan dengan Israel di bawah Perjanjian Abraham yang ditaja Trump dalam penggal pertamanya, bulan lalu memberi amaran bahawa pengilhakan Tebing Barat adalah garis merah bagi negara Teluk itu.

Pegawai kanan Emiriah, Anwar Gargash, penasihat diplomatik kepada Presiden UAE, memberitahu Sidang Kemuncak Teluk di Abu Dhabi semalam, bahawa pandangan ekstrem mengenai isu Palestin tidak lagi relevan. – REUTERS

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Budaya ‘persaingan’ merosakkan sistem pendidikan negara

Next Post

Reformasi pendidikan baharu perlu berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Related Posts