Feri karam berhampiran Bali, 61 penumpang hilang

BALI, 7 MUHARRAM — Sekurang-kurangnya 61 orang dilaporkan hilang selepas sebuah feri karam berhampiran pulau peranginan terkenal Indonesia, Bali. 

Menurut agensi mencari dan menyelamat Surabaya, feri itu tenggelam kira-kira jam 11.20 malam tadi di Selat Bali ketika dalam perjalanan ke destinasi percutian popular itu dari pulau utama Indonesia, Jawa.

“Data manifes (Data atau dokumen yang mempunyai maklumat terperinci mengenai barang atau penumpang) feri mencatatkan seramai 53 penumpang dan 12 anak kapal,” kata agensi yang berpangkalan di Jawa itu, sambil menambah bahawa usaha menyelamat masih diteruskan.

Feri yang dianggarkan karam pada jam 11:20 malam waktu tempatan itu turut membawa 22 kenderaan termasuk 14 lori, katanya.

Agensi itu dalam kenyataan susulan memaklumkan bahawa empat orang berjaya diselamatkan pada awal pagi ini.

Kemalangan laut sering berlaku di Indonesia, sebuah negara kepulauan Asia Tenggara yang mempunyai sekitar 17,000 pulau, sebahagian kerana standard keselamatan yang lemah.

Pada Mac lalu, sebuah bot yang membawa 16 orang terbalik di perairan bergelora berhampiran Bali, mengorbankan seorang wanita warga Australia dan mencederakan sekurang-kurangnya seorang lagi.

Pada 2018, lebih 150 orang mati lemas apabila sebuah feri karam di salah satu tasik terdalam dunia di Pulau Sumatera. – AFP

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Abu Shabab didakwa bersekongkol dengan Israel, Hamas beri masa 10 hari serah diri

Next Post

Pengarah Hospital Indonesia dan keluarga terbunuh dalam serangan Israel

Related Posts