BANGI, 30 RABIULAKHIR – Presiden Parti BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim menegaskan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) memberi kuasa terlalu besar kepada kerajaan, sekali gus membuka ruang kepada kepentingan pemaju mengatasi hak tuan tanah.
Beliau berkata, berdasarkan perbahasan Ahli Parlimen pembangkang serta hasil Konvensyen URA yang dianjurkan UMNO baru-baru ini, jelas wujud banyak kelemahan dan kelonggaran dalam rang undang-undang berkenaan.
“Daripada apa yang saya baca dan dengar, URA ini sangat memihak kepada pemaju dan merugikan pihak tuan tanah. Banyak kelonggaran, dan kuasa Menteri pula terlalu besar kerana beliau boleh mengadakan apa-apa kaedah untuk menjayakan URA.
“Sedangkan dalam bahagian yang menyentuh hak tuan tanah, hanya disebut tiga perkara sahaja. Misalnya, tawaran harga ‘tidak kurang baik’ daripada nilai asal, tetapi tiada jaminan ruang perbincangan atau persetujuan bersama,” katanya.
Menurut beliau, kelemahan-kelemahan itu semakin terserlah selepas gelombang suara rakyat, perbahasan pembangkang dan dapatan Konvensyen UMNO digabungkan sehingga menyebabkan kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua RUU tersebut.
“Apabila tekanan fakta dan suara rakyat semakin kuat, Menteri Nga Kor Ming akhirnya tidak berani membawa URA untuk bacaan kali kedua pada 6 Oktober lalu kerana kelemahannya sudah terdedah,” ujarnya.
Ustaz Zamani turut mengingatkan kerajaan supaya lebih berhati-hati dalam menggubal dasar berkaitan tanah dan hak rakyat agar tidak dilihat tunduk kepada kepentingan pemaju semata-mata.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi