BANGI, 7 MUHARRAM — Dewan Pemuda PAS Malaysia mengecam tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mengamalkan nepotisme secara jelas apabila anak lelakinya dilihat mengikuti beberapa siri lawatan rasmi kerajaan ke luar negara tanpa penjelasan rasmi.
Menurut Timbalan Ketuanya, Mohd Hafez Sabri berkata, kehadiran anak Perdana Menteri dalam lawatan ke Kazakhstan dan terbaru ke Rome, Itali menimbulkan persoalan besar berkenaan integriti pentadbiran kerajaan Madani.
Katanya, ketiadaan sebarang penjelasan rasmi jelas membuktikan bahawa kerajaan Madani bukan sahaja gagal memelihara integriti, malah semakin memperlihatkan kecenderungan menjadikan pentadbiran negara sebagai hak milik peribadi dan keluarga.
“Rakyat berhak tahu. Apakah peranan sebenar anak Perdana Menteri dalam misi diplomatik kerajaan? Di bawah kementerian mana beliau berkhidmat? Apakah jawatannya? Atas kapasiti apa beliau menyertai pertemuan rasmi antara dua kerajaan?
“lebih penting, siapa yang membiayai segala kos penglibatannya?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu susulan daripada penglibatan anak lelaki Perdana Menteri dalam beberapa siri lawatan rasmi kerajaan ke luar negara, termasuk ke Kazakhstan dan terbaru ke Rome, dan Itali.
Menurut laporan media, Anwar telah tiba di Rom, Itali bagi memulakan lawatan kerja selama tiga hari dan ketibaan beliau disambut oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Besar Malaysia ke Itali, Datuk Zahid Rastam.
Turut hadir menyambut ketibaan Perdana Menteri ialah Duta Kanan Hal Ehwal Protokol Itali, Fabrizio Romano dan bekas Duta Besar Itali ke Malaysia, Massimo Rustico.
Mengulas lanjut, Hafez turut menegaskan bahawa isu tersebut bukanlah perkara remeh atau semata-mata soal kekeluargaan, sebaliknya melibatkan penyalahgunaan kedudukan, pelanggaran prinsip tadbir urus serta penghinaan terhadap etika perkhidmatan awam.
Katanya, jika sebelum ini Perdana Menteri boleh secara terbuka melantik anak perempuannya sebagai penasihat kepada dirinya sendiri, tidak ada sebab untuk beliau berdiam diri berhubung status anak lelakinya yang kini jelas berada dalam bayang-bayang kuasa.
“Inilah wajah sebenar Madani, penuh dengan slogan, kosong dari segi prinsip.
“Apa yang dipertontonkan kepada rakyat kini bukanlah pentadbiran berasaskan integriti dan akauntabiliti, tetapi sebuah kerajaan keluarga yang membelakangkan sempadan antara amanah awam dan kepentingan peribadi,” katanya.
Justeru itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa rakyat tidak boleh terus berdiam diri terhadap budaya politik yang disifatkan sebagai bobrok (rosak) itu.
“Nepotisme adalah racun kepada demokrasi. Ia adalah pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat. Dan ia mesti dihentikan sekarang.
“Jika Perdana Menteri masih enggan bercakap benar kepada rakyat, maka beliau tidak layak berbicara tentang reformasi, keadilan, atau integriti. Rakyat tidak perlukan kerajaan yang dipenuhi dengan sanak saudara di belakang tabir kuasa.
“Rakyat perlukan pemimpin yang jujur, bersih dan berani mempertahankan maruah jawatan, bukan menggunakannya untuk menjaga kepentingan anak-anak sendiri,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi