Oleh Balqis Idris
BANGI, 19 RAMADAN — Pemerhati politik mempersoalkan layanan mesra Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap ketua wanita parti Fadhlina Sidek.
Mohd Sayuti Omar berkata foto Anwar bersama Fadhlina dalam sebuah kereta menimbulkan kontroversi di saat Pemilihan PKR pada Mei nanti.
“Semasa lawatan Perdana Menteri ke Pulau Pinang beberapa hari lalu, beliau kelihatan berkereta bersama Perdana Menteri sambil melambai tangan.
“Gambar ini terlalu eksklusif. Bagi pandangan saya gambar ini tidak sepatutnya dijadikan tatapan umum, nanti ada pula yang cemburu.
“Maklumlah sekarang musim pemilihan. Perlu bijaksana dan jaga perasaan yang lain,” katanya menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini.
Fadhlina akan mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Wanita PKR dalam pemilihan yang akan berlangsung pada 24 Mei ini.
Katanya, pemilihan kali ini akan memberi penekanan kepada kesinambungan dan kestabilan dalaman parti bagi memperkukuh perjuangan sedia ada.
Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail turut mengesahkan pencalonannya sekaligus mencabar kedudukan semasa Ketua Wanita PKR bagi merebut jawatan tersebut.
Mohd Sayuti berkata foto yang dikongsikan itu seperti memberi maksud mendalam apabila dilihat bersama-sama dengan Ketua Wanita PKR berkenaan.
Katanya, Anwar perlu bersikap adil terhadap calon yang bertanding dalam Pemilihan PKR demi menjaga keharmonian serta kepercayaan ahli parti.
“Apakah Perdana Menteri ingin menyampai sesuatu mesej? Hendaknya jangan kasih bertopok, biarlah sayang melata.
“Saya yakin calon lain juga mengimpikan keadaan sebegini untuk dijadikan bahan kempen,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi