Remaja 14 tahun dituduh bunuh rakan sekolah 16 tahun

BANGI, 30 RABIULAKHIR – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas tuduhan membunuh rakan sekolahnya yang berusia 16 tahun, minggu lalu.

Mengikut pertuduhan, remaja berkenaan didakwa membunuh mangsa dalam tandas perempuan sekolah itu antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi, 14 Oktober lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati. Bagaimanapun bagi pesalah bawah umur, hukuman penjara tidak lebih 30 tahun jika sabit kesalahan.

Prosiding dijalankan secara tertutup mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Tertuduh yang memakai pakaian lokap jingga, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh diwakili peguam Anwar Ezzad Zainal.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes ini pada 21 November ini.

Terdahulu, sebuah kenderaan polis tanpa logo yang membawa suspek, tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira jam 8.50 pagi.

Suspek dibawa masuk melalui laluan belakang bangunan sebelum dibawa ke mahkamah bagi prosiding pertuduhan secara tertutup.

Difahamkan, ibu bapa tertuduh turut berada di mahkamah sepanjang prosiding berlangsung.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi pada 14 Oktober lalu, mangsa pelajar perempuan Tingkatan Tiga ditemui tidak sedarkan diri dalam tandas perempuan sekolah berkenaan.

Susulan itu, polis menahan pelajar lelaki Tingkatan Satu berusia 14 tahun yang juga rakan sekolah mangsa.

Polis merampas senjata dipercayai digunakan suspek dalam kes itu iaitu sebilah pisau dan kerambit.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Masalah sosial remaja takkan selesai jika ibu bapa ‘lepas tangan’ 

Next Post

IDENTITI cadang tukar nama Taiping kepada Kelian Pauh

Related Posts