JOHOR BAHRU, Ahad – Kerajaan Johor bertegas mahu pengkhianat yang menyebabkan negara kehilangan hak dan kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh dikenakan tindakan undang-undang.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Pulau Batu Puteh mempunyai kepentingan dari sudut kedudukan strategik maritim walaupun ada yang beranggapan tiada kepentingan ekonomi.
“Batu Puteh sebelum ini merupakan kawasan perikanan penting bagi nelayan kita dan juga tempat mereka berteduh ketika ombak besar dan ribut. Bahkan pada ketika ini, kita sudah menerima laporan bahawa ramai nelayan-nelayan kita yang sudah dihalau keluar dari kawasan berdekatan Batu Puteh oleh pengawal pantai Singapura.”
DATUK ONN HAFIZ GHAZI / Menteri Besar Johor
Beliau berkata, kehilangan Pulau Batu Puteh memberi kesan negatif kepada rakyat terutamanya nelayan yang mengeluh kerana sumber pendapatan mereka terjejas.
Menurut Onn Hafiz, memandangkan Batu Puteh kini menjadi hak Singapura, ini akan menimbulkan pertikaian tuntutan bertindih kawasan maritim, apatah lagi jarak Batuan Tengah milik Malaysia hanya sekitar satu kilometer daripada Batu Puteh.
Pihak turut mengambil serius apabila laporan menyatakan bahawa Singapura telah mula menjalankan kerja-kerja penambakan di Batu Puteh, sedangkan perbatasan maritim masih lagi dalam perundingan dan belum dimuktamadkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu turut berharap jangan disebabkan dendam kesumat dan iri hati, Johor dan rakyatnya menjadi mangsa, malah keputusan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap Batu Puteh telah dibuat oleh pemimpin PH.
Jelasnya, ini soal kedaulatan dan maruah negara malah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pernah menyebut secara jelas bahawa Batu Puteh pernah menjadi milik Kesultanan Johor Lama.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kehilangan pulau kecil itu bukanlah satu perkara besar dan ia merupakan kesilapan kerajaan Johor yang menafikan pemilikan pulau itu.
Katanya, Malaysia seharusnya bersyukur dengan keputusan ICJ yang menganugerahkan Pulau Ligitan dan Sipadan kepada Malaysia mempunyai nilai komersial yang lebih tinggi berbanding Pulau Batu Puteh yang hanya merupakan batu.
Tun Mahathir mengatakan Malaysia dan Singapura sudah berjanji untuk menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh ICJ berhubung kes berkenaan.
Sementara itu, Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mendakwa Tun Mahathir menyembunyikan hakikat sebenar bahawa status pemilikan Pulau Batu Puteh masih boleh dicabar.
Katanya, walaupun Malaysia sudah berjanji dengan Singapura untuk tidak membuat rayuan selepas ICJ membuat keputusan, itu tidak bermakna rayuan langsung tidak boleh dilakukan.
Jelasnya, statut ICJ dengan jelas menerangkan bahawa mereka tidak menghalang mana-mana pihak untuk membuat rayuan terhadap keputusan asal.
Pulau Batu Puteh mempunyai saiz sebesar padang bola (8,560 meter persegi), terletak begitu dekat dengan Johor iaitu 14.3 kilometer dari Tanjung Penyusop, Johor berbanding 46 kilometer dari Changi, Singapura.
Kedudukan pulau itu amat strategik iaitu terletak di laluan utama bagi kapal-kapal dagang melalui Selat Melaka dan Laut China Selatan.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/25/tanda-pagar-matkilau-sohor-di-twitter/