Pakar gesa sekolah fokus kepada keselamatan murid

BANGI, 29 RABIULAKHIR – Kemarahan ibu bapa terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berpunca daripada kelemahan aspek keselamatan di kawasan sekolah, bukan kerana mahu menuding kesalahan kepada kementerian semata-mata.

Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, ramai ibu bapa kecewa apabila kes salah laku pelajar semakin kerap berlaku dalam kawasan sekolah, sedangkan sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak mereka.

“Jika semua kes salah laku ini berlaku di luar kawasan sekolah, saya pasti tidak ada ibu bapa yang akan menyalahkan KPM atau mendesak Menteri meletak jawatan.

“Isunya ialah keselamatan sekolah,” katanya.

Menurut beliau, kes salah laku pelajar bukanlah fenomena baharu kerana ia telah berlaku sejak sekian lama. 

Namun, tanggungjawab KPM ialah memastikan keselamatan pelajar dalam kawasan sekolah terjamin dan terkawal.

“Salah laku murid memang telah berlaku sejak dahulu lagi, dan jika berlaku di luar sekolah, itu tanggungjawab ibu bapa.

“Tapi kini yang merisaukan ialah bila salah laku itu semakin kerap berlaku dalam kawasan sekolah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr Anuar menyokong langkah KPM untuk memperkukuh keselamatan sekolah melalui pelbagai pendekatan, antaranya:

Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV);

Penyediaan rekod lengkap pelajar berisiko tinggi dan pemantauan berkala;

Pengawasan kehadiran pelajar berisiko serta pemakluman segera kepada ibu bapa;

Penubuhan pasukan khas peringkat sekolah bersama PIBG dan polis;

Pelantikan warden sepenuh masa di sekolah berasrama; serta

Kaunseling kepada ibu bapa yang anak mereka berisiko tinggi.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama ibu bapa dalam usaha memulihkan disiplin anak-anak dan menyeru agar tindakan tegas diambil terhadap mereka yang gagal memberikan kerjasama walaupun telah diberi peringatan.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap ibu bapa yang cuai atau enggan bekerjasama dengan pihak sekolah,” katanya.

Dr Anuar berharap KPM, guru dan ibu bapa dapat berganding bahu memastikan sekolah kembali menjadi tempat yang selamat, berdisiplin dan membentuk jati diri pelajar.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Wujudkan pegawai psikologi di setiap PPD, elak sistem sokongan pelajar ‘tersumbat’ – Pakar Psikiatri

Next Post

Israel makin lemah, golongan muda berkemahiran tinggi tinggalkan negara itu

Related Posts