BANGI, 19 MUHARRAM – “Akan datang. Suatu penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia.”
Itulah mesej ringkas yang tertera pada poster yang dimuat naik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di laman Facebook rasminya malam tadi.
Namun, hantaran tersebut mencetuskan pelbagai reaksi, ada yang gembira, namun kebanyakannya sinis. Ramai netizen meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi pentadbiran yang masih belum memenuhi harapan rakyat.
Menariknya, bukan sahaja Perdana Menteri, malah beberapa menteri, timbalan menteri, dan akaun rasmi kementerian turut memuat naik hantaran yang sama.
Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada ia sekadar komunikasi biasa atau satu kempen tersusun untuk meredakan keresahan rakyat.
Di media sosial, ramai warganet mempersoalkan maksud sebenar “penghargaan” itu. Tanpa sebarang penjelasan terperinci, mereka menganggap ia hanya gimik atau petanda kepada bantuan jangka pendek, satu perkara yang sudah biasa dalam dunia politik negara.
Ramai netizen melahirkan rasa tidak puas hati terhadap mesej tersebut, mempertikaikan ketulusan janji bantuan dan menyindir tindakan kerajaan yang dianggap lambat bertindak.
Seorang pengguna Facebook, Nawawi Osman, secara sinis menulis bahawa penghargaan sebenar adalah apabila Perdana Menteri meletakkan jawatan:
“Penghargaan paling besar bila mana PMX letak jawatan. Hahaha.”
Ada juga yang menyindir kerajaan kerana hanya bertindak selepas mendapat tekanan daripada rakyat:
“Rakyat dah bising baru bagi gula-gula. Alhamdulillah… tapi kenapa tak dari dulu?”
Kritikan lebih keras datang daripada mereka yang melihat tindakan menyalin mesej yang sama oleh pelbagai pihak sebagai propaganda:
“Salin-menyalin mesej bukan penghargaan. Ini propaganda. Rakyat nak tindakan, bukan ‘copy paste’ dari atas ke bawah.”
Selain itu, ada juga yang mempersoalkan bentuk penghargaan itu yang masih samar dan tidak jelas:
“Penghargaan macam mana? Rakyat perlukan fakta dan tindakan, bukan sekadar kata-kata manis.”
Namun begitu, di sebalik kritikan tersebut, ada juga suara yang berharap bantuan yang diberikan dapat dilaksanakan secara adil dan saksama:
“Apa pun bentuknya, kalau untuk bantu rakyat, kami terima. Tapi biarlah disusuli dengan pelaksanaan yang adil dan tidak terpilih.”
Tidak kurang juga yang mengingatkan supaya kerajaan fokus kepada reformasi dasar dan keikhlasan dalam tindakan:
“Penghargaan sebenar bukan dari kata-kata, tapi dari tindakan yang membela rakyat dan memperbaiki sistem.”
Setakat pagi ini, belum ada pengumuman rasmi atau penjelasan lanjut berkaitan ‘penghargaan’ yang dimaksudkan tersebut.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi