BANGI, 29 RABIULAKHIR – Cadangan agar arak dihidangkan dalam pesawat milik negara Islam bukan sekadar tidak wajar, malah mencabar maruah dan dasar Islam yang menjadi teras negara ini.
Sebagai umat Islam, kita wajib bersuara apabila hukum Allah cuba digugat atas nama kemodenan dan komersial, apatah lagi apabila Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan.”
Islam mengharamkan arak secara jelas dan tegas — bukan hanya untuk diminum, tetapi juga untuk dijual, dibawa, dihidang atau diurus dalam apa jua bentuk. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 90 menegaskan bahawa arak adalah najis daripada perbuatan syaitan dan wajib dijauhi oleh orang beriman.
Rasulullah SAW juga bersabda bahawa Allah melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak, termasuk mereka yang menghidangkannya. (Riwayat Ibn Majah dan at-Tirmidzi) Maka, menghidangkan arak dalam pesawat milik negara Islam adalah haram, walaupun pelanggan bukan Islam.
Hukum ini qat‘ie, muktamad dan tidak boleh diubah mengikut selera zaman.
Ada yang berhujah kononnya penyediaan arak perlu untuk menarik pelancong dan menyaingi syarikat penerbangan lain. Ini hujah yang dangkal, kerana terdapat banyak syarikat penerbangan lain yang berjaya tanpa perlu menjual arak.
Negara Islam lain seperti Saudia Airlines dan Kuwait Airways beroperasi dengan cemerlang tanpa setitis arak pun dalam penerbangan mereka — bukti bahawa kemajuan tidak perlu dicapai dengan menggadaikan hukum Allah.
Pesawat nasional bukan sekadar syarikat penerbangan. Ia membawa nama, imej dan maruah negara di langit dunia. Jika arak dihidangkan di atas pesawat yang membawa lambang negara Islam, maka ia memberi isyarat bahawa hukum Allah boleh diketepikan apabila berhadapan dengan tekanan keuntungan. Ini bukan soal kecil — ini soal dasar dan identiti negara Islam.
Menolak hidangan arak bukan bermakna menindas bukan Islam. Islam tidak melarang mereka meminumnya dalam urusan peribadi, namun pesawat milik negara Islam mesti tunduk kepada garis syarak, bukan kepada selera pasaran. Toleransi dalam Islam bermaksud menghormati manusia, bukan menggadaikan kebenaran.
Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa melihat kemungkaran, hendaklah dia ubah dengan tangannya; jika tidak mampu, dengan lidahnya; dan jika tidak mampu, dengan hatinya — dan itu selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)
Maka, kita sebagai rakyat dan umat Islam wajib menolak cadangan ini dengan jelas dan tegas. Diam bererti reda, dan reda bererti terlibat sama dalam dosa.
Arak tetap haram — sama ada di darat, di laut atau di udara. Tiada alasan ekonomi, pelancongan atau “standard antarabangsa” yang boleh menghalalkan apa yang telah Allah haramkan. Kerajaan dan syarikat penerbangan nasional mesti bertegas menolak cadangan ini demi menjaga maruah Islam, kehormatan negara dan keberkatan rezeki.
Arak bukan lambang kemajuan, tetapi tanda kejatuhan nilai. Negara Islam mesti kekal berprinsip di bawah hukum Allah.
Haji Rashidi bin Haris
Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi