BANGI, 26 ZULHIJJAH — Dalam landskap politik Malaysia, logik orang-orang berkuasa sering kali sukar dihadam. Terbaru, PKR mencipta sejarah yang bukan-bukan kerana melantik dua pemimpin yang tewas Pilihan Raya Umum (PRU) sebagai ‘jeneral’ perang mereka.
Secara tradisinya, Timbalan Presiden satu-satu parti akan automatik menjadi pengarah pilihan raya. Sebelum ini, tugas jeneral itu disandang oleh Datuk Seri Rafizi Ramli ketika menjadi memegang jawatn nombor dua PKR.
Tetapi kekalahannya kepada Nurul Izzah Anwar bermakna anak Perdana Menteri itu yang akan menjadi pengarah pilihan raya. Tetapi pertambahan seorang lagi pengarah, iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menimbulkan persoalan kepada keupayaan sebenar Nurul Izzah.
Apakah Puteri Reformasi itu sebenarnya tidak layak atau tidak mampu menggalas tanggungjawab tersebut?
Sebagai rekod, kedua-dua orang kuat parti itu tewas dalam PRU-15 yang lalu. Nurul Izzah gagal mempertahankan kedudukan sebagai Ahli Parlimen selepas kalah kerusi Permatang Pauh, iaitu kerusi ‘legasi Keluarga Anwar’ kepada Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan, dengan majoriti 5,272.
Saifuddin Nasution pula tewas di Kulim-Bandar Baharu, kerusi yang disandangnya sebelum itu, kepada calon Perikatan Nasional, Roslan Hashim dengan majoriti 13,061.
Beliau kemudian dilantik sebagai Senator bagi membolehkannya menjadi Menteri Dalam Negeri, sebagai balasan kesetiaannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden parti itu.
Semasa sesi ‘londeh-melondeh’ dalam kempen pemilihan PKR baru-baru ini, Rafizi ada mendedahkan sesuatu yang tidak enak mengenai Nurul Izzah dan Datuk Seri Wan Azizah.
Dakwanya, tiada keputusan atau persetujuan diberikan pasangan anak-beranak itu semasa Pakatan Harapan ingin dilancarkan. Sebagai rekod, Wan Azizah ialah Presiden Parti semasa Anwar meringkuk dalam penjara.
Ia pasti menimbulkan persoalan mengenai keupayaan mantan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu sebagai pembuat keputusan atau ‘decision-maker’ yang ampuh. Sama ada anda suka atau tidak kepada Rafizi, tidak dapat dinafikan beliau adalah jeneral perang PKR yang kuat.
Tugas sebagai pengarah pilihan raya PKR pada masa-masa mendatang bukanlah mudah, mengambil kira sentimen rakyat yang semakin tidak mesra dengan kepemimpinan sedia ada. Pelbagai isu yang melanda kerajaan, daripada isu tong gas ungu hinggalah perluasan skop Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST).
Barangkali dalam PKR, kekalahan dalam PRU adalah merit baharu. Mungkin ini sebahagian daripada strategi ‘politik songsang’ yang mana calon yang gagal meraih sokongan rakyat dipertanggungjawabkan pula untuk memastikan parti kekal mentadbir negara.
PKR kelihatan terlalu selesa dengan kedudukannya sebagai parti teras yang memimpin negara. Apakah parti itu yakin bahawa pengundi bandar —deposit selamat PKR selama ini— akan tetap mengundi mereka?
Tak mustahil selepas ini, kita akan lihat lebih ramai bekas calon yang kalah diangkat sebagai think tank atau penasihat utama parti. Logiknya mudah. Jika mereka tahu bagaimana untuk kalah dengan bergaya, tentu mereka tahu juga bagaimana untuk kalah dengan lebih kreatif kali berikutnya.
Syabas PKR, kerana terus memecahkan stereotaip dan membuktikan bahawa dalam politik Malaysia, meritokrasi adalah perkara kecil. Yang penting—loyalti, darah keturunan, dan keberanian untuk kalah… dengan penuh semangat reformasi.
Oleh: Ahmad Mustakim, Wartawan TV Pertiwi
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi