Tragedi sekolah dan kegagalan sistem: Kepimpinan Fadhlina kini dipersoal

Tragedi demi tragedi di sekolah kebelakangan ini menimbulkan keresahan besar dalam kalangan rakyat. Dua kes rogol berkumpulan di sekolah menengah, masing-masing di Melaka dan Kedah, serta kes bunuh membabitkan pelajar lelaki di sebuah sekolah di Damansara, menambah luka dalam sejarah pendidikan negara.

Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat membina akhlak, menimba ilmu dan mengasuh nilai, kini bertukar menjadi medan tragedi. Setiap kali berlaku insiden sebegini, masyarakat terkejut seketika, institusi dikejutkan dengan janji siasatan, dan isu akhirnya tenggelam begitu sahaja.

Namun kali ini, persoalan yang lebih besar timbul, di mana letaknya keberkesanan sistem pendidikan yang sepatutnya menjadi benteng pertama mencegah keganasan, buli, dan tekanan emosi dalam kalangan pelajar?

Reformasi tergesa bukan jawapan

Terbaru, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah drastik dengan melaksanakan reformasi serta-merta terhadap sistem dan mekanisme sedia ada.

Beliau menyatakan lima fokus utama menjadi teras perubahan baharu itu, meliputi aspek kesihatan kental, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial dalam menangani keganasan seksual terhadap kanak-kanak, pencegahan bahan terlarang, dasar perlindungan kanak-kanak, penjagaan guru, serta suara murid.

Langkah itu disertai arahan kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk melaksanakannya secara praktikal dan efisien di lebih 10,000 sekolah di seluruh negara.

Namun persoalannya, sejauh mana reformasi ini mampu memberi kesan segera terhadap akar permasalahan yang sudah berlarutan bertahun-tahun?

Apakah pelaksanaan terburu-buru tanpa diagnosis menyeluruh tidak akan mengulangi kesilapan dasar lama, yang hanya menyentuh simptom, bukan punca?

Sistem yang gagal membaca tekanan pelajar

Keganasan di sekolah bukan fenomena baharu. Ia berpunca daripada pelbagai faktor, tekanan keluarga, pengaruh media sosial, ketiadaan disiplin rohani, dan longgarnya pengawasan guru terhadap pelajar berisiko.

Namun di sebalik semua itu, terdapat satu hakikat yang tidak boleh dinafikan: sistem pendidikan kita gagal membaca tanda-tanda awal tekanan emosi dan gejala sosial dalam kalangan pelajar.

Sebelum tragedi bunuh di Damansara, sudah banyak amaran diberikan, video pergaduhan, buli dan ancaman tular saban bulan di media sosial. Tetapi tindakan susulan sering kali bersifat kosmetik, sekadar kenyataan di atas pentas.

Apabila tragedi berlaku, barulah datang janji siasatan dan peringatan untuk “ambil iktibar”.

Sudah tiba masanya KPM menilai semula peranan kaunselor sekolah, pengawasan disiplin, dan bentuk intervensi psikososial yang benar-benar berkesan. Guru tidak boleh dipersalahkan semata-mata, kerana mereka juga menjadi mangsa sistem yang sarat dengan beban pentadbiran dan tekanan kerja.

Isu keselamatan pelajar tidak boleh dipisahkan daripada krisis nilai dan identiti dalam sistem pendidikan itu sendiri.

Apabila sekolah menjadi terlalu mekanikal, mengejar pencapaian akademik semata-mata, maka aspek pembinaan akhlak dan kesejahteraan murid terpinggir. Di sinilah puncanya sekolah kehilangan “jiwa”, dan pelajar kehilangan empati.

Pendidikan tidak boleh lagi dilihat hanya sebagai ruang menghantar pelajar ke universiti. Ia mesti kembali menjadi institusi membentuk manusia beradab. Masyarakat kini bukan sekadar menuntut perubahan dasar, tetapi perubahan roh pendidikan itu sendiri.

Kepimpinan yang diuji, bukan dihukum

Tidak dapat dinafikan, beban kini terpikul di bahu Fadhlina sebagai Menteri Pendidikan. Kepimpinan beliau kini diuji untuk membuktikan bahawa reformasi yang diumumkan bukan sekadar reaksi politik, tetapi perubahan berasaskan prinsip dan nilai.

Tragedi demi tragedi tidak boleh dilihat sebagai kes terpencil. Ia cerminan kelemahan sistem yang gagal mengesan tekanan emosi pelajar, budaya buli, dan pengurusan disiplin yang longgar. Selagi sistem itu tidak dibetulkan secara menyeluruh dengan keberanian, kejujuran dan tindakan berasaskan realiti lapangan, selagi itulah tragedi di sekolah akan terus berulang.

Kita tidak boleh menormalisasi tragedi di sekolah seolah-olah ia hanya kecuaian individu, sedangkan akar masalahnya ialah sistem yang tidak memulihkan. Pendidikan mesti kembali kepada asasnya — membentuk manusia yang mengenal nilai, bukan sekadar melahirkan pelajar yang mengejar markah.

Soalnya kini, sejauh mana keberanian seorang menteri untuk memulakan perubahan sebenar, bukan sekadar mengumumkan satu lagi pelan reformasi?

Siti Fatimah Ishak
Wartawan TV Pertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Jangan hanya tuding jari, pergilah mesyuarat PIBG

Next Post

Wujudkan pegawai psikologi di setiap PPD, elak sistem sokongan pelajar ‘tersumbat’ – Pakar Psikiatri

Related Posts