Dua tahun selepas genosid Israel, Gaza hancur lebur

GAZA, 25 RABIULAKHIR – Dua tahun selepas genosid Israel di Semenanjung Gaza, wilayah Palestin itu kini hancur secara fizikal, berpecah secara sosial dan lumpuh dari segi ekonomi.

Lebih separuh penduduk dipindahkan, keseluruhan kawasan kejiranan musnah dan institusi utama runtuh. Gaza kini berdepan pemulihan yang menurut pakar, boleh mengambil masa beberapa dekad dan menelan kos berbilion dolar.

Laporan Penilaian Kerosakan dan Keperluan Pantas Interim Gaza dan Tebing Barat (IRDNA) yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Februari lalu menggambarkan situasi suram, dengan anggaran kos mencecah AS$53 bilion, manakala keperluan jangka pendek dalam tempoh tiga tahun pertama dianggarkan sekitar AS$20 bilion.

Menurut laporan itu yang menilai keadaan Gaza antara Oktober 2023 hingga Januari 2025, jumlah kerosakan fizikal dianggarkan AS$29.9 bilion, manakala kerugian ekonomi dan sosial mencecah AS$19.1 bilion.

Beberapa anggaran lain meletakkan kos pembinaan semula Gaza lebih tinggi daripada angka yang dinyatakan dalam laporan IRDNA.

Pejabat Media Gaza menyatakan bahawa kerugian awal dalam sektor penting melebihi AS$70 bilion, sambil menuntut pelan pembinaan semula segera.

Penasihat media dan komunikasi Majlis Pelarian Norway (NRC), Ahmed Bayram, berkata usaha membina semula Gaza memerlukan gerakan global yang belum pernah disaksikan dalam beberapa dekad.

“Cabaran untuk membina semula Gaza amat besar dan memerlukan Israel memberi komitmen membenarkan pembaikan segera terhadap infrastruktur, jalan raya serta kemasukan peralatan dan bahan binaan,” katanya.

Penasihat PBB bagi pembinaan semula Gaza, Mamoun Besaiso, menegaskan keperluan mendesak rakyat Palestin yang kini tinggal di Gaza.

“Perkara utama yang perlu diberikan segera kepada rakyat ialah tempat perlindungan. Kemudian kita perlu menyediakan perkhidmatan asas, terutama air. Kita perlu membawa makanan dan menyediakan perkhidmatan perubatan serta pendidikan semula,” katanya.

Bayram bersetuju: “Buat masa ini, tumpuan mesti kepada menghentikan kebuluran dan menyediakan tempat perlindungan sementara menjelang musim sejuk. Fokus sekarang ialah menyelamatkan nyawa manusia di Gaza.”

Perumahan: Sektor paling parah

Sektor perumahan menjadi yang paling teruk terjejas.

Laporan IRDNA menyatakan AS$15.2 bilion atau 30 peritus daripada jumlah kos keseluruhan, diperuntukkan untuk pembinaan semula rumah, menjadikannya komponen terbesar dalam keperluan pemulihan.

Dalam tempoh tiga tahun pertama, keperluan dianggarkan AS$3.7 bilion, dengan keutamaan kepada penyediaan tempat perlindungan sementara dan pelan pemulihan perumahan.

Untuk jangka sederhana hingga panjang, pembinaan semula rumah yang musnah dianggarkan menelan kos AS$11.4 bilion.

Menurut laporan, perang Israel terhadap Gaza telah memberi kesan paling besar kepada sektor perumahan, mencatat kerosakan AS$15.8 bilion, atau 53 peratus daripada jumlah keseluruhan kerosakan fizikal.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan bahawa sekitar 81,000 unit rumah rosak sejak Oktober 2023.

Sementara itu, UNRWA dalam laporan Mei lalu menyatakan bahawa 92 peratus rumah rakyat Palestin di Gaza dimusnahkan oleh Israel.

Sistem kesihatan di ambang keruntuhan

Pembinaan semula sektor kesihatan Gaza dianggarkan menelan kos lebih AS$7 bilion, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Anggaran ini meliputi bantuan kemanusiaan, pemulihan awal dan pembinaan semula jangka panjang.

WHO melaporkan bahawa tentera Israel melakukan 778 serangan terhadap kemudahan kesihatan, merosakkan 34 hospital, 91 pusat perubatan dan 210 ambulans.

Akibatnya, lebih separuh daripada 228 hospital dan pusat kesihatan utama di Gaza tidak lagi beroperasi.

Sekitar satu pertiga daripada 176 pusat kesihatan utama hanya berfungsi separuh, dan lebih 1,700 petugas kesihatan terbunuh sejak Oktober 2023.

Pendidikan: Generasi yang hilang

Keperluan pemulihan sektor pendidikan dianggarkan AS$3.8 bilion dalam tempoh lima tahun.

Dalam jangka pendek, sekitar AS$2.6 bilion diperlukan untuk mendirikan kemudahan pembelajaran sementara, termasuk khemah dan bangunan prefabrikasi, memulihkan sekolah yang dijadikan pusat perlindungan pelarian, serta memberikan sokongan psikososial kepada pelajar.

Untuk jangka sederhana hingga panjang, AS$1.2 bilion lagi diperlukan bagi membina semula sekolah yang musnah, memperkukuhkan infrastruktur digital dan meningkatkan ketahanan sistem pendidikan.

Menurut UNESCO, setakat Julai 2025, 97 peratus sekolah di Gaza mengalami kerosakan, dan 518 daripada 564 memerlukan pembinaan semula atau baik pulih besar-besaran.

Data PBB menunjukkan 17,237 pelajar, 1,271 pelajar universiti dan 967 kakitangan pendidikan terbunuh sejak Oktober 2023, dengan hampir 660,000 kanak-kanak masih tidak bersekolah.

Tenaga: Gaza dalam kegelapan (BOLD)

IRDNA menganggarkan keperluan jangka pendek sektor tenaga sekitar AS$365 juta, bagi memastikan bekalan 322,000 liter diesel setiap hari untuk menjana tenaga bagi kemudahan kesihatan, air dan makanan.

Dalam jangka panjang, AS$1.1 bilion diperlukan bagi menyambung semula talian bekalan tenaga, menyalurkan bahan api untuk loji janakuasa Gaza, memasang 67 MW sistem solar fotovoltaik, serta meneroka semula import tenaga dari Mesir.

Sebelum perang, sektor tenaga Gaza sudah pun terhad, hanya memenuhi 35 peratus daripada permintaan elektrik, menyebabkan gangguan dan bekalan terputus secara berterusan.

Air, sanitasi dan kebersihan: Krisis AS$2.7 bilion

Sejak 7 Oktober 2023, Israel memusnahkan kemudahan air, unit penyahgaraman dan sistem pembetungan Gaza.

IRDNA menyatakan pemulihan sektor Air, Sanitasi dan Kebersihan (WASH) memerlukan AS$2.7 bilion.

Keperluan segera sebanyak AS$664 juta diperlukan bagi memulihkan perkhidmatan asas air dan sanitasi, membaiki kemudahan kecemasan, menyediakan sumber air alternatif dan bekalan kebersihan.

Baki AS$2 bilion digunakan untuk membina semula rangkaian air dan pembetungan yang berdaya tahan serta memperluas sistem penyahgaraman.

Laporan pakar PBB pada Julai lalu menyatakan 89 peratus infrastruktur air dan sanitasi Gaza telah rosak atau musnah, menyebabkan lebih 90 peratus isi rumah tidak mendapat air bersih.

Warisan budaya: Mangsa sunyi

Perang Israel juga memusnahkan sektor budaya dan warisan Gaza. Menurut IRDNA, sekitar 53 peritus tapak warisan rosak atau musnah, dengan nilai kerugian sekitar AS$120 juta.

Kerugian besar termasuk 27 peratus aset budaya seperti tapak arkeologi dan bangunan bersejarah yang penting.

Keperluan segera untuk tempoh 1.5 tahun dianggarkan AS$48 juta bagi melindungi tapak warisan yang rosak, manakala usaha jangka panjang menelan AS$144 juta bagi pemuliharaan dan pembinaan semula.

Cabaran dan halangan

Antara halangan utama dalam usaha pembinaan semula, menurut Besaiso, ialah bom yang belum meletup.

“Sekitar 30 peratus bom masih belum meletup dan ini sangat berbahaya,” katanya.

Masalah lain ialah mayat yang masih tertimbus di bawah runtuhan. Beliau menegaskan bahawa walaupun selepas gencatan senjata, Israel masih mengebom bangunan yang menempatkan puluhan orang di bawah runtuhan.

Selain itu, kemasukan bahan mentah, bahan binaan dan jentera berat dikawal sepenuhnya oleh Israel.

“Kami tidak dibenarkan membawa masuk walau sebungkus simen ke Gaza tanpa kelulusan Israel. Sebab itulah pembinaan semula terlalu lama,” katanya.

Menurut laporan PBB tahun lalu, jika sekatan Israel diteruskan, pengalihan runtuhan akan mengambil masa 14 tahun dan pembinaan rumah memakan masa 80 tahun.

Siapa akan bina semula Gaza?

Pakar turut menyuarakan kebimbangan tentang kekurangan dana pembinaan semula.

Besaiso menjelaskan bahawa ramai penderma ragu-ragu kerana bimbang kitaran kehancuran akan berulang.

“Agensi antarabangsa bersetuju membantu, tetapi mereka enggan melabur sehingga ada penyelesaian politik yang mampan bagi Gaza,” katanya.

Beliau menambah, semasa perang 2008–2009, Kesatuan Eropah (EU) membiayai pembinaan semula Gaza, namun dua tahun kemudian, banyak bangunan yang dibina semula dimusnahkan semula oleh Israel menyebabkan EU enggan menyalurkan bantuan susulan.

Tahun lalu, penderma membincangkan cadangan supaya semua dana disalurkan kepada tabung amanah Bank Dunia, tetapi EU menolak dan memilih untuk menguruskan dana sendiri.

Mesir mencadangkan satu jawatankuasa penyelarasan komuniti yang terdiri daripada pakar dan teknokrat bagi mengurus pembinaan semula secara sementara.

Bagaimanapun, Besaiso menegaskan bahawa pemulihan sepenuhnya hanya boleh berlaku jika Israel menarik diri sepenuhnya dari Semenanjung Gaza.

“Jika Israel terus menduduki 53 peritus wilayah Gaza, mustahil untuk melakukan pembinaan semula sepenuhnya,” katanya. — ANADOLU

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pesalah Bawah Umur: Bolehkah Dibicarakan Seperti Orang Dewasa?

Next Post

Kampung Sungai Baru diwartakan sebagai MAS sejak 1932, kata penduduk

Related Posts