SELASA, 30 NOVEMBER – Selepas Jabatan Pendidikan negeri Pahang dikecam gara-gara insiden papan tanda tidak meletakkan tulisan cina, kejadian di Pekan itu terus kedengaran melepasi Laut China Selatan.
Giliran Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Sarawak (Sha Dong Zong) pula menghentam jabatan berkenaan kerana tidak mempamerkan tulisan Cina pada papan tanda dua sekolah rendah Cina di Pahang.
Sha Dong Zong dilaporkan berkata, papan tanda itu hanya memaparkan nama sekolah. Memetik Borneo Post, masing-masing papan tanda itu ditulis dalam Bahasa Malaysia dan Jawi.
Mereka bimbang dengan tiada tulisan Cina pada papan tanda sekolah. Bagi mereka, ini satu tanda kemarahan pihak berkuasa dan membantah perkara berkenaan.
“Kami menuntut Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan negeri Pahang mengambil tindakan segera untuk membetulkan papan tanda sekolah,” – Sha Dong Zong
Sha Dong Zong mendakwa, papan tanda menandakan identiti tradisi Cina. Jelasnya, papan tanda sekolah Cina tanpa tulisan Cina padanya menunjukkan kehilangan identiti.
“Hak kita untuk belajar dan menggunakan bahasa ibunda termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dan insiden karakter Cina yang hilang dari papan tanda sekolah Cina ini sekali lagi menunjukkan bahawa pihak berkuasa mengabaikan hak asasi pendidikan Cina, dengan itu mewujudkan percanggahan pendapat dan ketidakpercayaan di kalangan kaum yang berbeza,” – Sha Dong Zong
Sha Dong Zong mengingatkan pihak berkuasa bahawa sekolah rendah Cina diuruskan oleh lembaga sekolah masing-masing seperti yang termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996.
Ia menegaskan bahawa pelbagai lembaga sekolah memiliki sekolah rendah Cina masing-masing.
Justeru Sha Dong Zong menggesa Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak supaya lebih peka dalam melaksanakan dasar di negeri itu bagi menghormati hak semua sekolah dan mengelak insiden sama berlaku di Sarawak.