BANGI, 24 RABIULAKHIR – Jabatan Peguam Negara mengesahkan pelajar yang terbabit dalam kejadian rogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir di sebuah sekolah di Alor Gajah akan didakwa di Mahkamah Majistret, Melaka, hari ini.
Menurut kenyataan jabatan itu, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
“Hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan mendapati terdapat asas mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap individu-individu yang terlibat,” kata kenyataan tersebut dalam laman Facebook, hari ini.
Dalam kenyataan itu juga menjelaskan bahawa Jabatan Peguam Negara telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes rogol tersebut.
Sementara itu, jabatan itu menegaskan akan memastikan setiap kesalahan jenayah khususnya melibatkan mangsa kanak-kanak dan jenayah seksual diambil tindakan sewajarnya dan ditangani dengan tegas berlandaskan undang-undang.
Polis sebelum ini menyatakan bahawa empat pelajar lelaki yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada bulan depan, direman enam hari bermula 11 Oktober lalu.
Mengikut laporan media, kejadian rogol bergilir-gilir tersebut berlaku sekitar 2.50 petang pada 2 Oktober lalu dalam sebuah kelas di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah.
Perbuatan itu juga dirakam menggunakan telefon bimbit oleh dua daripada suspek terbabit.
Kejadian itut terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video tersebut daripada guru sekolah sebelum membuat laporan polis.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi