KRIM perangi wabak pornografi, laksana modul Repro Alert di sekolah

BANGI, 24 RABIULAKHIR – Bagi membanteras gejala seks bebas dan ketagihan pornografi yang semakin membimbangkan dalam kalangan remaja, Kelab Remaja Ikatan Muslimin (KRIM) giat melaksanakan modul Repro Alert di sekolah-sekolah sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai pendidikan seksual berteraskan nilai Islam.

Pengarah KRIM Johor Bahru, Mohammad Hafiz Johar berkata, sudah tiba masanya masyarakat bertindak dengan melakukan perubahan terhadap dasar, sistem dan cara berfikir kerana masa depan negara bergantung kepada generasi muda yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan.

“Luluh hati melihat apa yang berlaku kepada anak muda hari ini. Kes empat pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang merogol pelajar Tingkatan Tiga di dalam kelas bukan sekadar kisah jenayah, tetapi lambang betapa retaknya akhlak remaja kita hari ini,” katanya. 

Beliau menegaskan, punca utama kepada jenayah sedemikian ialah wabak pornografi yang sudah lama berakar dalam masyarakat.

“Otak penagih pornografi berubah sama seperti otak penagih dadah. Apabila otak remaja terbiasa dengan khayalan lucah, akhirnya mereka terdorong untuk mencuba dalam dunia sebenar. 

“Dari situlah datangnya jenayah rogol, cabul, buli seksual dan rakaman video lucah tanpa segan silu,” ujarnya.

Menurut Mohammad Hafiz, gejala itu kini sudah merebak secara meluas tanpa disedari, lebih membimbangkan apabila akses kepada bahan lucah di Malaysia terlalu mudah.

“Statistik pernah menunjukkan Malaysia berada di tangga keempat tertinggi dunia dari segi lawatan ke laman web pornografi. Ia sangat parah dan amat memalukan! Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat menuntut ilmu kini berubah menjadi tapak semaian jenayah,” tegasnya.

Terdahulu, media melaporkan satu lagi kes rogol berkumpulan membabitkan empat remaja, termasuk tiga pelajar sebuah sekolah di Baling, Kedah.

Kesemua mereka ditahan polis selepas disyaki merogol secara berkumpulan serta menyebarkan rakaman lucah di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu berusia 53 tahun pada Ahad lalu selepas guru disiplin memaklumkan mengenai penularan video bogel anaknya.

Susulan laporan itu, polis menahan tiga pelajar sekolah berkenaan serta seorang bekas pelajar pada malam hari yang sama bagi membantu siasatan.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Dua pelajar Tingkatan Lima didakwa rogol dalam kelas di Melaka

Next Post

Kes rogol bawah umur semakin menjadi-jadi, salah siapa?

Related Posts