Oleh Wartawan TV Pertiwi
Menteri Kewangan II memberi jaminan kerajaan tidak akan mengklasifikasikan kumpulan T15 berdasarkan Kaji Selidik Pendapatan Isi Rumah (HIS).
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pelbagai maklumat akan diguna pakai sebelum golongan yang dikecualikan subsidi itu ditetapkan.
“Kerajaan masih meneliti pendekatan yang digunakan bagi menentukan kumpulan T15 bagi penyasaran subsidi RON95 dan tidak akan terikat secara terus dengan definisi HIS.
“Kerajaan akan meneliti perkara ini sebelum dimuktamadkan dengan mengambil kira kriteria tambahan selain daripada pendapatan,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan yang ingin mengetahui mekanisme bagi menetapkan kumpulan T15.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 berkata penyasaran subsidi RON95 akan dimulakan pertengahan tahun hadapan.
Katanya, golongan T15 tidak akan menerima subsidi bahan bakar, elektrik, pendidikan dan kesihatan sebagaimana 85 peratus rakyat Malaysia.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI