Kes disiplin sekolah: Kembalikan kuasa guru

BANGI, 24 RABIULAKHIR – Kes seorang pelajar menikam rakan sekolahnya hingga maut di Petaling Jaya dan kejadian rogol berkumpulan di Melaka, baru-baru ini menggemparkan negara.

Namun dua kejadian itu bukan kes jenayah terpencil, tetapi cerminan keretakan sistem nilai, kawalan disiplin dan batas kuasa dalam kalangan pelajar sekolah masa kini.

Bagi sebahagian besar masyarakat, pertanyaan besar kini timbul. Adakah masalah disiplin pelajar semakin parah dan adakah kuasa guru untuk mendidik dan menghukum semakin terhakis?

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, sudah lama memberi amaran mengenai perubahan sikap ibu bapa terhadap peranan guru.

Beliau pernah menegaskan bahawa ada segelintir ibu bapa terlalu cepat mempertikaikan tindakan disiplin guru. Malah ada yang terus membuat laporan polis atau aduan ke Kementerian Pendidikan walaupun kes masih boleh diselesaikan di peringkat sekolah.

“Apabila guru takut untuk bertindak, pelajar akan hilang rasa hormat terhadap guru dan sekolah. Disiplin tidak boleh ditegakkan dengan nasihat semata-mata tanpa kuasa mendidik yang dihormati,” katanya dalam satu kenyataan media sebelum ini.

Menurut Aminuddin, guru kini berdepan dilema antara mendisiplinkan pelajar dan bimbang disalah tafsir sebagai mendera atau menzalimi. Akibatnya, banyak kes salah laku pelajar diselesaikan secara ‘selamat’ tanpa tindakan tegas hanya kerana pihak sekolah mahu mengelak kecaman awam.

Kuasa menghukum makin longgar

Dahulu, rotan atau denda ringan adalah sebahagian daripada proses pendidikan. 

Sering kita dengar dahulu, apabila ibu bapa menghantar anak mengaji atau ke sekolah, akan diberikan rotan kepada guru. “Cikgu ajarlah anak saya, rotanlah dia kalau bersalah” adalah antara ayat klasik kepercayaan ibu bapa kepada guru untuk mendisiplinkan anak mereka.

Namun zaman berubah dan selepas pelbagai pekeliling baharu dikeluarkan, kuasa disiplin guru kini tertakluk kepada banyak sekatan. Guru hanya dibenarkan mengambil tindakan setelah mendapat kebenaran pentadbir. Sebarang bentuk hukuman fizikal perlu direkodkan serta disemak semula oleh pihak atasan.

Langkah ini bertujuan melindungi pelajar daripada penderaan. Namun, pada masa sama ia memberi kesan psikologi kepada guru. Mereka menjadi terlalu berhati-hati hingga hilang wibawa untuk mendidik dengan tegas.

Akhirnya, sebahagian guru memilih jalan selamat dengan membiarkan masalah disiplin ringan, malah berat daripada menanggung beban berdepan karenah ibu bapa dan pengurusan sekolah atau peringkat lebih tinggi di Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan. 

Ada yang beranggapan bahawa tidak berbaloi untuk menegur atau mengambil tindakan disiplin kerana tindak balas negatif yang dihadapi lebih membebankan.

Tekanan sosial dan nilai keluarga

Dalam banyak kes membabitkan disiplin berat, faktor persekitaran rumah juga tidak boleh diketepikan.

Kajian Kementerian Pendidikan mendapati peningkatan kes salah laku pelajar sering berkait rapat dengan suasana keluarga yang tidak stabil, sama ada terlalu longgar atau terlalu keras.

Bagi Aminuddin, perubahan gaya hidup moden turut mempengaruhi cara ibu bapa mengawal anak. Ramai ibu bapa bekerja untuk tempoh yang lama dan menyerahkan tanggungjawab pembentukan sahsiah kepada sekolah, sedangkan pembinaan moral bermula di rumah. Apabila berlaku masalah, jari dituding semata-mata kepada guru.

Hasil kajian sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertajuk “Pelajar Melanggar Disiplin Sekolah: Kaitan Interaksi Keluarga Terhadap Konsep Kendiri” mendapati bahawa pengaruh keluarga memainkan peranan besar dalam pembentukan sahsiah pelajar.

Kajian itu menjelaskan bahawa pelajar yang membesar dalam persekitaran keluarga tidak harmoni atau kurang perhatian daripada ibu bapa cenderung menunjukkan tingkah laku negatif di sekolah. 

Tahap pendidikan ibu bapa, tekanan ekonomi serta kekangan masa turut menjadi faktor penyumbang.

“Apabila ibu bapa terlalu sibuk dan menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada sekolah, pelajar kehilangan panduan emosi dan moral di rumah. Sekolah hanya mampu mendidik sebahagian kecil, selebihnya bermula daripada keluarga,” jelas laporan itu.

Kembali perkukuhkan kuasa guru

Pelbagai pihak kini mendesak agar kerajaan menilai semula kuasa disiplin guru dengan lebih realistik.

Cadangan untuk mengembalikan kuasa disiplin sekolah dan memperkukuh kerjasama dengan komuniti setempat semakin mendapat perhatian.

Bagi Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, sudah sampai masa hukuman tegas dikenakan kepada pelajar yang melakukan kesalahan disiplin seperti buli dengan mengembalikan kuasa menghukum mereka kepada pengetua, guru besar dan guru, terutama guru disiplin.

Namun, katanya kuasa diberikan kepada guru perlu disusuli dengan jaminan perlindungan, memandangkan mereka terdedah kepada tindakan undang-undang ibu bapa dan penjaga.

“Ini penting kerana pelajar mendapat perlindungan di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak, iaitu mana-mana guru tidak boleh menyentuh fizikal murid,” katanya.

Mohd Azizee berkata, Kementerian Pendidikan perlu mengkaji semula peruntukan undang-undang sedia ada, sekiranya ingin mengembalikan kuasa merotan kepada guru yang sememangnya mampu membantu meningkatkan disiplin pelajar dan membendung buli.

“Saya cadangkan KPM mewujudkan akta yang melindungi profesion perguruan, khususnya berkaitan tindakan undang-undang kerana tidak ada guna mengembalikan kuasa guru tanpa ada jaminan perlindungan undang-undang,” katanya.

Menurut Mohd Azizee, usaha menangani isu disiplin di sekolah perlu dilihat secara holistik, malah menjadi tanggungjawab semua pihak, iaitu KPM sebagai pembuat dasar, pengurusan sekolah, guru, warden, ibu bapa dan pelajar.

Kes pelajar tikam dan rogol berkumpulan bukan sekadar soal jenayah, tetapi simptom kepada kehilangan keseimbangan antara hak pelajar, kuasa guru dan tanggungjawab ibu bapa.

Apabila guru hilang wibawa dan ibu bapa pula enggan menerima teguran, sekolah hanya tinggal sebagai tempat belajar akademik, bukan institusi pembinaan insan yang seimbang dunia dan akhirat.

Lebih membimbangkan isu ini tidak ditangani segera, sistem pendidikan negara bukan sahaja melahirkan generasi yang bijak, tetapi pada masa sama yang bermasalah dan tidak beradab. Mereka akan menjadi sebahagian anggota masyarakat yang rosak dan menimbulkan lebih banyak masalah kepada masyarakat dan negara pada masa depan.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pelajar terbabit kes rogol di Melaka didakwa hari ini 

Next Post

Dua pelajar Tingkatan Lima didakwa rogol dalam kelas di Melaka

Related Posts