Rakyat Malaysia beruntung kerana negara ini memiliki banyak sumber asli dan bahan komoditi yang boleh dibuat duit.
Ya, negara ini memang kaya. Jika tidak, tidaklah puak penjajah berpusu-pusu merebut dan menjarah hasil mahsul tanah ini.
Dalam filem Mat Kilau, digambarkan bumi Pahang kaya dengan emas dan disebabkan itu, pihak British bersungguh-sungguh mengimport pekerja dari negara luar untuk bekerja di lombong-lombong.
Itu kisah dahulu. Kisah sekarang, masih ramai pelabur asing yang menjadi negara ini sebagai tempat membuat duit. Tengok sahaja syarikat-syarikat China, berapa banyak wang dilaburkan dalam projek-projek mega di seluruh negara.
Akan tetapi, mengenangkan realiti cabaran hidup hari ini, pengarang berasa sedih dan kesal dengan nasib sebahagian rakyat yang tidak bernasib baik.
Mereka yang tergolong dalam kategori B40 berterusan diuji dengan kenaikan harga barang seperti harga minyak masak dan barangan asas lain.
Semua orang bercakap, sekarang barang makin mahal. Kena berjimat cermat. Masalahnya, pendapatan B40 dah memang kecil. Nak berjimat apa lagi?
Bayangkan pula mereka yang bergaji RM3,000 dan tinggal di Kuala Lumpur. Kalau dahulu, RM3,000 ini cukup serba serbi. Tapi sekarang, kalau berpada dengan RM3,000, hidup membujang boleh lah. Kalau sudah berkahwin, takkanlah tak nak ada anak.
Akhirnya, mereka terpaksa mengerahkan tenaga mencari sumber pendapatan kedua. Inilah realiti kesukaran hidup yang dilalui sebahagian besar rakyat Malaysia.
Oleh itu, janganlah terkejut sekiranya ada yang memprotes Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi yang memakai kasut bernilai RM40,000.
Ya, betul ia adalah kurniaan Sultan Johor. Tapi, di saat rakyat susah, memang wajar ia dipersoalkan.
Mengapakah ketika harga barang naik, rakyat yang disuruh berjimat dan mengubah gaya hidup? Bukankah sepatutnya pihak atasan juga berubah, sekurang-kurangnya merasai kesusahan rakyat?
Sebenarnya, banyak faktor mengapa harga barang naik, mengapa gaji tak naik dan mengapa masih ramai rakyat yang hidup dalam kesusahan.
Pengarang tak berhajat bercerita panjang mengenai faktor-faktor ini. Cukuplah satu faktor yang wajar kita fikirkan bersama, iaitu kegagalan pemimpin negara dalam mengatasi masalah ini.
Satu hujah mudah, mengapakah Malaysia yang merupakan antara pengeluar utama minyak sawit, minyak masaknya mahal-mahal? Pelik bin ajaib. Mungkinkah kerajaan sengaja memberi peluang kepada pengilang membuat untung besar? Mana Ahli Parlimen kita yang 222 orang, ataupun anggota Kabinet Menteri yang bilangannya 70 orang lebih dalam isu rakyat ini?
Selaku pengamal media, pengarang bersifat berkecuali dalam memihak kepada mana-mana parti politik sama ada parti kerajaan atau parti pembangkang.
Bagi pengarang, pemimpin yang menjadi kerajaan hari ini hanyalah mereka yang bekerja untuk diri sendiri, bukan untuk kepentingan rakyat.
Merujuk kepada tajuk di atas, pengarang faham dan setuju dengan kemarahan rakyat kepada pemimpin negara di atas kegagalan mereka. Tapi satu saja nak pesan, jangan diusik kedaulatan dan ketuanan Melayu.
Nak marah pemimpin, silakan. Tapi jangan disalahkan bangsa Melayu secara keseluruhan. Apatah lagi dihina dan dicabar.
Pemimpin negara memang ramai yang Melayu. Tapi tak bekerja untuk orang Melayu.
Pengarang: Siapa makan cili, dia terasa pedas.